Kata JIWA

Monday, October 31, 2011

Kisah Kedengkian Abrahah (Bahagian 3)

Abdul Muthalib Bertemu Abrahah

Dalam kitab Sirah An-Nabawiyah diceritakan bahawa Abdul Muthalib merupakan seorang yang tampan, berani juga mempunyai perwatakan yang luar biasa. Tatkala Abrahah melihat kedatangan Abdul Muthalib dia berasa malu dan menghormatinya.. Maka turunlah Abrahah dari kerusinya untuk duduk bersama Abdul Muttalib di atas permadani.

Lalu Abrahah melalui jurubahasanya bertanyakan Abdul Muthalib, “Apa yang kamu inginkan?”.

Jawab Abdul Muthalib, “ Pulangkan 200 ekor unta kepunyaanku yang dirampas oleh tenteramu itu!”.

Abrahah berbicara melalui jurubahasanya lagi,

“Sesungguhnya apabila aku mula melihatmu tadi, aku berasa kagum dan tertarik kepadamu. Tetapi apabila kemudian kamu mengemukakan permintaanmu itu,aku tidak lagi berasa kagum juga tidak lagi tertarik kepadamu. Apakah tujuan kedatanganmu semata-mata kerana untamu yang berjumlah 200 ekor itu? Sedangkan kamu mengetahui tujuanku adalah untuk memusnahkan tempat ibadatmu dan bapa-bapamu (Kaabah) dan kamu langsung tidak membicarakan itu sama sekali?”

Lalu Abdul Muthalib menjawab, “Aku pemilik unta-unta itu, sedangkan Kaabah itu ada tuannya sendiri. Maka Dialah yang akan mempertahankannya...”

Abrahah berkata, "Tiada siapa dapat mempertahankannya. Akan aku musnahkan ia!”.

Jawab Abdul Muthalib lagi, “Terserah kepadamu...”

Ibnu Hisham menulis di dalam kitab sirahnya lagi; terdapat beberapa orang yang mendakwa serta menyatakan bahawa telah pergi bersama-sama dengan Abdul Muthalib untuk bertemu Abrahah ketika itu ialah Yu’mar bin Nufasah bin ‘Adi bin Ad-Da’li bin Bakar bin Manah bin Kinanah; ketua kabilah Bani Bakr juga Khuwailid bin Wathilah; ketua kabilah Huzail.

Dan mereka itu telah menawarkan kepada Abrahah 1/3 daripada harta ahli Tihamah dengan maksud supaya Abrahah tidak memusnahkan Baitullah. Akan tetapi Abrahah telah menolak tawaran itu.

Wallahu’alam samaada ianya benar ataupun tidak. Tetapi apa yang pasti, Abrahah akhirnya memulangkan unta-unta kepunyaan Abdul Muthalib itu lantas dia pun segera pulang untuk menemui penduduk Makkah.

Doa Abdul Muthalib di Kaabah Supaya Allah Memusnahkan Abrahah

Abdul Muttalib menyampaikan berita itu kepada seluruh penduduk Makkah seraya mengajak mereka supaya meninggalkan Makkah menuju ke bukit-bukau kerana khuatirkan kejahatan yang akan ditimbulkan oleh tentera Abrahah kelak.

Sebelum meninggalkan Makkah, Abdul Muttalib memegang cincin (pemegang) pintu Kaabah dan bersama-samanya juga beberapa orang Quraisyh yang turut berdoa memohon pertolongan kepada Allah agar menyelamatkan Baitullah daripada Abrahah dan tenteranya.

Lalu berdoalah Abdul Muthalib di sisi pintu Kaabah,

"Ya Allah, semua orang mempertahankan rumahnya, maka pertahankanlah rumahMu ini. Dan pada hari ini pertahankanlah ia daripada kaum salib dan penyembah salib itu bagi mereka yang menyembah hanya kepadaMu. Dan jangan sampai salib mereka dan kejahatan mereka itu dapat mengalahkan kekuasaanMu…"

Rujukan:
(1)Sirah An-Nabawiyah / Ibnu Hisham
(2)Tafsir An-Nasafi
(3)Tafsir Hadaiq Ar-Rauh Wal Raihan fi Rawabi 'Ulumil Quran / Syeikh Muhammad Al-Amin bin Abdullah Al-Urami Al-'Alawi Al-Harari As-Syafie


Sumber asal: http://abuhanif186.blogspot.com/2010/08/kisah-kedengkian-abrahah3.html

Wednesday, October 26, 2011

Israiliyat Merosakkan Kesucian Al-Quran & As-Sunnah (Bahagian 3)

Sesungguhnya telah terkenal dengan riwayat israiliyat dengan pembawaannya golongan dari sahabat, tabiin juga tabi' tabiin. Adapun mereka itu ialah:

1. Perawi israiliyat yang terkenal dari kalangan sahabat :

a) Abu Hurairah r.a
b) Ibnu Abbas r.a
c) Abdullah Bin Amru Bin Al-Asr r.a
d) Abdullah Bin Salam r.a
e) Tamim Ad-Dari r.a

2. Perawi israiliyat yang terkenal dari kalangan tabiin:

a) Kaab Al-Akhbar
b) Wahab Bin Munabbih

3. Perawi israiliyat yang terkenal dari kalangan tabi' tabiin :

a) Muhammad Bin Al-Saib Al-Kalabi
b) Abdul Malik Bin Abdul Aziz Bin Juraij
c) Muqatil Bin Sulaiman
d) Muhammad Bin Marwan As-Suddi

Inilah,mereka yang termasyhur dalam pengriwayatan israiliyat. Dikalangan mereka itu,ada yang adil lagi dipercayai,tidak melampau dalam mengriwayatkan israiliyat hingga ke tahap yang boleh menghilangkan kepercayaan terhadap mereka mahupun riwayat-riwayat mereka. Adapun sebahagian yang lain ada pula yang melampaui batas di dalam mengriwayatkan kisah-kisah israiliyat. Mereka tergelincir ke arah pendustaan dan rekaan hadis-hadis palsu, sehinggalah tidak kita temui orang-orang yang mempercayai riwayat mereka melainkan sebahagian kecil yang telah terpedaya.

Di dalam kitab hadis dan tafsir terdapat riwayat yang benar jua dusta. Maka apabila ditemui riwayat dari mereka ini maka berhati-hatilah. Selidikilah peribadi para perawi juga jalan sanadnya samaada ianya sahih atau palsu berdasarkan apa yang telah disebut para muhaddisin terhadap peribadi mereka sebelum menerima satu-satu riwayat itu bulat-bulat agar kita tidak termasuk dalam golongan yang melakukan pendustaan terhadap Rasulullah S.A.W juga sahabat baginda sehingga menghilangkan kepercayaan terhadap jalan pengriwayatan mereka.

Adapun antara kitab-kitab tafsir yang memuatkan riwayat-riwayat dari jalan para perawi di atas ialah:

a) Jami' Al-Bayan Fit Tafsir Al-Quran ( Al-Thabari)
b) Tafsir Al-Quran Al-'Azim ( Ibnu Kasir)
c) Tafsir Maqatil Bin Sulaiman
d) Al-Kasyfu 'An Bayani Tafsir Al-Quran (Al-Tha'labi)
e) Lubab At-Ta'wil Fi Ma'ani Al-Tanzil ( Al-Kazin)
f) Ruh Al-Ma'ani Fi Tafsir Al-Quran Al-'Azim Wa Sab'il Masani (Al-Alusi)
g) Tafsir Al-Manar (Syeikh Muhammad Rasyid Redha)

Dari kesemua kitab-kitab tafsir di atas yang menukilkan riwayat israiliyat di dalamnya bolehlah dikatakan bahawa terdapat banyak riwayat israiliyat yang ditulis tanpa menyebut sebarang sebarang sanad seperti sehingga boleh mengelirukan pembaca.

Dan jika disebut bersama sanad pula,terdapat pula sebahagian yang ditulis tanpa meletakkan sebarang hukum terhadap hadis itu samaada boleh diterima atau ditolak. Dan ada sebahagian yang ditulis hukum bagi riwayat itu akan tetapi tanpa sebarang komentar mengapa riwayat itu dihukum sedemikian seperti kitab tafsir Al-Tha'labi dan Al-Bughawi (ringkasan tafsir Al-Tha'labi) juga tafsir Al-Kazin yang merupakan ringkasan kepada kitab Al-Bughawi.

Akan tetapi di sana juga terdapat beberapa orang pengarang yang menjaga dan berhati-hati terhadap hasil karangan mereka dengan meletakkan hukum beserta komentar terhadap riwayat israiliyat di dalam kitab tafsir yang dikarang seperti Imam Ibnu Kasir dan Imam Al-Alusi.

Dan demikianlah secara ringkasnya penulisan mengenai israiliyat. Dan adalah menjadi tanggungjawab kita selaku umat Islam untuk menjaga kesucian Al-Quran juga mengelakkan pendustaan terhadap As-Sunnah terutama bagi mereka yang menjadi ahlinya untuk memberikan penjelasan juga kefahaman di dalam menjaga agama Allah S.W.T.

Dan adalah lebih baik jika riwayat israiliyat itu ditinggalkan terus jika kesan yang mendatang lebih banyak daripada kebaikannya.

Wallahu'alam.

Rujukan :

1) Al-Quranul Karim
2) Maktabah Syamilah
3) Kisah Israiliyat Dalam Tafsir & Hadis / Dr Muhammad Husin Az-Zahabi / Pencetakan Jahabersa / Tahun 1996

Sumber asal : http://abuhanif186.blogspot.com/2010/05/israiliyat-merosakkan-kesucian-al-quran.html

Tuesday, October 18, 2011

Kisah Kedengkian Abrahah (Bahagian 2)

Perjalanan Abrahah menuju ke Makkah

Dalam kitab tafsir An-Nasafi dinyatakan bahawa Abrahah telah mempersiapkan semua kelengkapan tenteranya untuk menyerang Makkah dan meruntuhkan Kaabah. Abrahah menaiki seekor gajah yang bernama Mahmud manakala di sampingnya dua belas ekor gajah yang lain.

Dan Ibnu Hisham menyebut di dalam kitab sirahnya bahawa bangsa Arab turut merasa bertanggungjawab untuk menyekat kemaraan tentera Abrahah itu. Sehingga di Yaman sendiri, tentera Abrahah telah ditentang oleh orang-orang Arab yang dipimpin oleh tokoh-tokoh kabilah terkemuka. Namun begitu, tentera Abrahah dengan mudah saja mengalahkan mereka.

Dan antara mereka yang memimpin itu ialah Dzu Nafar. Tatkala Abrahah mahu membunuhnya lau berkatalah Dzu Nafar kepadanya, “Wahai raja janganlah kamu membunuhku. Barangkali kamu mengekalkan aku bersamamu lebih baik daripada kamu membunuhku!” . Maka Abrahah telah membatalkan niatnya untuk membunuh Dzu Nafar. Lalu Abrahah meneruskan perjalanannya menuju ke Makkah.

Sesampainya Abrahah di daerah Khos'am, dia ditentang pula oleh Nufail bin Habib bersama kabilahnya. Mereka ini juga telah dikalahkan oleh tentera Abrahah; sedang Nufail sendiri telah ditawan dan ditangkap. Pada mulanya Abrahah ingin membunuhnya akan tetapi akhirnya Abrahah telah menukar fikiran untuk memaafkan Nufail dan lalu menjadikannya sebagai penunjuk jalan menuju ke Makkah.

Apabila Abrahah dan tenteranya singgah ke bumi Thoif, mereka telah disambut dengan baik oleh para penduduknya. Ini kerana penduduk Tho’if khuatir Abrahah akan merosakkan tempat penyembahan berhala mereka yang diberi nama Al-Laati. Bukan itu sahaja, bahkan mereka mengutuskan Abu Righal untuk menjadi penunjuk jalan bagi Abrahah menuju ke Makkah.

Dalam perjalanan, mereka singgah di satu tempat yang bernama Al-Mughammas. Abu Rihgal telah meninggal dunia di sana lalu dikebumikan. Maka diceritakan bahawa orang-orang Arab kemudiannya telah melontar kuburnya dengan batu dan ia adalah satu-satunya kubur yang dilontar oleh manusia di Al-Mughammas.

Ketika menetap di Al-Mughammas, tentera-tentera Abrahah telah menggunakan kesempatan ini untuk merompak juga merampas harta benda kepunyaan orang Makkah. Dan di antara barang yang dirompak itu, terdapat 200 ekor unta milik Abdul Muthalib; datuk Nabi Muhammad S.A.W.

Dalam pada itu, Abrahah telah mengutuskan Hunathah Al-Himyari untuk memberitahu kepada seorang yang terkemuka di Makkah bahawa kedatangannya bukanlah untuk berperang kecuali jika mereka menghalanginya untuk merobohkan Kaabah.

Ketika Hunathah masuk ke Makkah, diberitahulah kepadanya bahawa ketua penduduk Makkah itu ialah Abdul Muthalib; ketua kaum Quraisyh. Maka Hunathah telah bertemu dengan Abdul Muttalib dan disampaikan kepadanya apa yang dikatakan oleh Abrahah itu.

Lalu Abdul Mutalib menjawab, “Demi Allah..!! Kami juga tidak akan memeranginya dan tidak akan sanggup melawannya. Baitullah itu dibangunkan oleh Khalilullah Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam. Maka biarlah Allah yang mempertahankannya kerana itu hakNya. Dan andai ia dibiarkan oleh Allah, maka kami tidak dapat mempertahankannya …”

Hunathah berkata, “Jika demikian marilah pergi bersamaku menghadap Abrahah!” .

Dan Abdul Muthalib pun bersetuju.

Rujukan:
(1)Tafsir An-Nasafi
(2)Sirah An-Nabawiyah / Ibnu Hisham


Sumber asal: http://abuhanif186.blogspot.com/2010/07/kisah-kedengkian-abrahah2.html

Friday, October 14, 2011

Rahsia Waktu Solat Yang Teratur

Firman Allah Taala dalam surah An-Nisa' ayat 103 yang bermaksud:

"Maka apabila kamu telah menyelesaikan solat, ingatlah Allah di waktu berdiri, di waktu duduk dan di waktu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa aman, maka dirikanlah solat itu (sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah fardhu yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman."

Dari sudut pandangan kesihatan, ternyata solat yang dilakukan secara teratur dapat memberi hikmah pada kesihatan. Satu kajian menjelaskan bahawa solat yang dilaksanakan dengan teratur amat berpotensi untuk menambah kekuatan orang yang melaksanakannya dalam menjaga tekanan darah agar tidak melebihi kadar normal.

Sebuah majalah perubatan rakyat yang terbit di Jerman memuatkan satu kajian yang mengambil 155 orang Amerika dari ras Afrika yang berusia 25-45 tahun untuk dipantau tekanan darahnya selama 24 jam. Hasilnya adalah tekanan darah mereka lebih rendah dari rata-rata orang biasa.

Dan ternyata orang yang dikaji tersebut adalah orang-orang yang bertaqwa dan amat berpegang teguh kepada agama. Mereka mengatakan bahawa golongan tersebut adalah orang membiasakan diri menunaikan solat.

( mukasurat 89 : Rukun Islam Secara Logik / Imam Musbikin)

Maka renunglah kembali maksud firman Allah S.W.T di dalam ayat diatas yang memerintahkan kita untuk menunaikan solat secara tearatur waktunya, kerana yang pasti di sebalik setiap suruhan-Nya terkandung rahsia dan hikmah yang amat besar.

Wallahua'lam.

Tuesday, October 11, 2011

Israiliyat Merosakkan Kesucian Al-Quran & As-Sunnah (Bahagian 2)

Setelah pada penulisan yang lalu penulis menceritakan secara ringkas bagaimana permulaan tersebarnya israiliyat ke dalam komuniti umat Islam, pada penulisan ini penulis ingin menyatakan secara ringkas bagaimana ia boleh menyerap masuk ke dalam tafsir dan juga hadis.

Secara ringkasnya, israiliyat itu tersebar ke dalam tafsir dan hadis melalui dua marhalah utama iaitu marhalah pengriwayatan dan juga marhalah pembukuan. Dan sebab utama berlakunya perkara ini ialah hilangnya sanad hadis sehingga tidak dapat dibezakan antara hadis yang sahih dan dhoif termasuk di dalam kitab-kitab tafsir yang hanya ditulis matan hadis tanpa disebutkan perawinya. Dan jika ada disebutkan sanad dan perawinya pun, hadis yang dibaca dan ditulis itu tidak dinyatakan tentang martabatnya samada ianya sahih atau dhoif. Maka bermula dari itu telah tersebarlah dengan luasnya kisah-kisah israiliyat dalam kitab-kitab tafsir.

BAHAGIAN-BAHAGIAN ISRAILIYAT:

Israiliyat itu secara ringkasnya terbahagi kepada 3 bahagian berdasarkan beberapa cabang ilmu.

1) Ilmu hadis : Dikira pada sahih dan dhoif hadis.

2) Ilmu syariat : Dikira pada menyamai syariat,menyanggahi syariat dan yang didiamkan padanya

3) Ilmu aqidah : Dikira pada yang ada kaitan dengan akidah, hukum dan nasihat.

Meskipun para ulamak membahagikan israiliyat ini berdasarkan beberapa cabang ilmu iaitu ilmu hadis,syariat dan aqidah, tetapi jika dikaji dengan lebih mendalam sangat jelas dan nyata bahawa bahagian-bahagian itu lebih kurang bentuknya antara satu sama yang lain. Ia tidak lari dari menyatakan mengenai maqbul(diterima) mardud(ditolak) dan taraddud baina maqbul wa mardud (yang didiamkan atau tidak dihukum padanya) pada sesuatu kisah israiliyat itu.

HUKUM MERIWAYATKAN ISRAILIYAT

Sebelum kita menyebut dengan lebih lanjut mengenai hukum meriwayatkan israiliyat ini terlebih dahulu marilah kita merenung nas-nas dari Al-Quran dan As-Sunnah dalam hal meriwayatkannya.

1) Dalil-dalil larangan meriwayatkannya:

Begitu banyak hadis-hadis yang menegah pengriwayatan isarailiyat antaranya :

Sabda Rasulullah S.A.W : "Janganlah kamu membenarkan kata-kata ahli kitab dan jangan pula kamu menuduh mereka berdusta. Tetapi katakanlah " Kami beriman terhadap Allah dan apa yang diturunkanNya terhadap kami, hingga akhir hayat." (Fathul Bari- Sahih Muslim)

Berkata Ibnu Mas'ud : "Janganlah kamu tanya kepada ahli kitab. Sesungguhnya mereka itu tidak dapat memberikan petunjuk kepada kamu. Sesunnguhnya mereka itu telah menyesatkan diri mereka sendiri. Sekiranya kamu bertanyakan kepada mereka mungkin kamu akan menyatakan dusta terhadap perkara yang hak atau menyatakan benar terhadap perkara yang batil . " ( Fathul Bari- Hadis diriwayatkan oleh Abdul Razzak dalam musnadnya dari Harith bin Zuhair dan juga diriwayatkan oleh Sufian As-Sauri dengan lafaz yang hampir sama)

2) Dalil-dalil pengharusan:

Firman Allah Taala : "Dan sekiranya engkau masih ragu-ragu tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada engkau,tanyakanlah kepada orang-orang yang membaca kitab sebelum engkau,".

Firman Allah Taala lagi : "Katakanlah: Adakah kamu perhatikan,jika Al-Quran itu datang dari sisi Allah dan kamu menyangkalnya, dan seorang saksi dari Bani Israil menjadi saksi serupa itu lalu dia beriman, tetapi kamu menyombongkan diri?" (Al-Ahqaf:10)

Daripada Abdullah bin Umar bahawa Nabi S.A.W telah bersabda : "Sampaikanlah dariku walau satu ayat,dan ceritakan tentang Bani Israil,tidak mengapa. Dan barangsiapa yang berdusta terhadapku secara sengaja,maka Allah telah menyediakan untuknya satu tempat di neraka." (Sahih Bukhari)

Nas-nas di atas hanyalah sebahagian daripada dalil yang menunjukkan ke atas tegahan dan pengharusan mengriwayatkan israiliyat sedangkan di sana banyak lagi nas-nas untuk menunjukkan atas yang demikian itu.

Ringkas katanya apabila digandingkan antara nas tegahan dan pengharusan ini, maka bolehlah penulis nukilkan seperti berikut:

"Setiap cerita yang diriwayatkan yang bertepatan dengan syarak kita boleh membenarkannya, dan harus hukumnya meriwayatkannya. Dan setiap cerita yang bercanggah dengan syarak pula,maka hendaklah kita dustakan dan haram hukum meriwayatkannya melainkan sesudah diterang akan kebatilannya. Yang didiamkan oleh syarak pula,harus kita tawaqquf,kita tidak boleh menghukumnya benar atau dusta. Dan harus pula kita riwayatkannya kerana pada lazimnya ia berkisar pada kisah dan cerita,tiada kaitan dengan aqidah dan hukum. Riwayat itu pula hanya merupakan hikayat seperti yang tersebut dalam kitab mereka atau yang mereka (ahli kitab) ceritakan berdasarkan pandangan yang hak mahupun batil.".

Penulis nukilkan juga kata-kata Imam Ibnu Taimiyah di dalam kitabnya 'Muqaddimah fi Usul Al-Tafsir' yang menyebut :

"Walau bagaimanapun,hadis-hadis israiliyat ini disebut untuk menjadi bukti,bukanlah menjadi i'tiqad. Ia terbahagi kepada tiga bahagian : Pertama :- Cerita yang kita tahu kesahihannya berdasarkan nas yang benar,maka ia adalah sahih. Kedua:- Cerita yang kita tahu dustanya berdasarkan nas yang bercanggah dengannya. Ketiga:- Cerita yang didiamkan oleh syarak, bukan sahih dan bukan dusta,maka kita tidak boleh percaya dan juga tidak boleh pula mendustakannya. Dan haram pula menghikayatkannya seperti yang telah disebut sebelum ini."
Seterusnya,kata-kata Imam Al-Buqa'i di dalam kitabnya Al-Aqwal Al-Qawimah fi Hukmi An-Naqli min Al-Kutub Al-Qadimah' :

"Hukum menukil (mengambil riwayat) daripada Bani Israil walaupun pada perkara yang tidak dibenarkan oleh kitab-kitab dan tidak didustakan hukumnya harus dan meski perkara yang dinukil itu tidak kukuh. Begitu juga apa yang dinukilkan daripada selain Bani Israil dari klangan penganut agama batil yang lain. Ini adalah kerana maksud pengharusan itu hanya untuk mengetahui sahaja,bukan untuk dijadikan pegangan. 

Berlainan dengan apa yang dijadikan dalil dalam syarak kita,maka sesungguhnya ia merupakan pegangan dalam berhujah untuk menegakkan kebenaran agama,maka ia mestilah kukuh. Dalil-dalil yang ada di sisi kita ada 3 bahagian : nas-nas maudhu',nas-nas dhaif dan selainnya. Maka nas yang bukan maudhu' dan dhaif; benar-benar dhaif boleh dijadikan hujah.

Nas dhaif yang boleh dijadikan pegangan untuk targhib (perangsang dalam beramal) dan nas maudhu' disebut untuk menerangkan peringatan dari cerita itu bahawa ia adalah dusta. Apabila berlaku persamaan apa yang dinukil oleh para ulama' kita dari ahli agama untuk dujadikan dalil syarak dengan apa yang dinukil oleh ahli kitab maka gugurlah ia dari barisan 3 bahagian yang tersebut di atas untuk dujadikan hujah. Sesunnguhnya tidak boleh menukilkan daripada mereka perkara yang tetap hukumnya daripada hukum-hukum kita. Perkara yang diakui benar oleh kitab kita (AlQuran), harus hukum menukilnya walaupun jika ia tidak termasuk dalam perkara yang berkait dalam hukum mau'izah (peringatan)untuk kita. cerita yang diakui dusta oleh kitab kita,maka ia samalah seperti maudhu'-tidak boleh menukilnya melainkan beserta keterangan mengenai kebatilannya,".


Sumber asal : http://abuhanif186.blogspot.com/2010/04/israiliyat-merosakkan-kesucian-al-quran.html

Saturday, October 8, 2011

Mengubah Qada' Dan Qadar

Mereka Menyoal :

Qada' dan qadar adalah benda yang menjadi hak Allah Taala. Persoalannya bolehkah kita sebagai manusia berusaha untuk mengubahnya seperti seorang yang mengetahui bahawa dia akan mati keesokkan harinya lalu dia berdoa supaya umurnya dipanjangkan lagi.

To'Wan Menjawab :

Qada' bermaksud perlaksaan sesuatu perkara mengikut ketentuan azali manakala qadar pula bermaksud ketentuan Allah terhadap apa yang berlaku kepada makhlukNya sejak azali.

Qada' pula dibahagikan kepada dua iaitu :

1. Qada Mubram : Pelaksanaan ketentuan yang tidak berubah. Contohnya : Allah telah menentukan bahawa yang akan menjadi khalifah di muka bumi adalah manusia bukannya makhluk yang lain.

2. Qada' Mu'allaq : Pelaksanaan yang boleh berubah. Contohnya : Kejayaan seseorang bergantung kepada usaha yang dilakukan.

Merujuk kepada pembahagian qada' di atas, boleh diringkaskan bahawa ada sebahagian qada' yang kita boleh mengubahnya melalui usaha dan sebahagian qada' lagi kita tidak akan mampu mengubahnya sampai bila-bila sekalipun puas berusaha.

Seorang yang lahir sebagai lelaki tidak akan mampu mengubah ketentuan itu sampai bila-bila sekalipun dia melakukan pembedahan menukar jantina kerana yang berubah cuma fizikalnya bukan dalamannya.  Manakala seorang yang lahir bodoh bukan bererti bodoh untuk selama-lamanya. Dengan usaha, dia mampu mengubah dirinya menjadi seorang yang bijak. Dan apa yang kita terima daripada Allah selepas berusaha itulah sebenarnya yang dimaksudkan dengan qadar.

Berbalik kepada soalan yang bertanya, kematian sebenarnya adalah antara benda yang menjadi rahsia Allah S.W.T sebagaimana Dia rahsiakan anak dalam kandungan. Sebab itu tidak hairanlah jika sekiranya sebelum kelahiran doktor menjangkakan anak yang bakal lahir adalah lelaki melalui proses imbasan, tapi bila dilahirkan anak itu adalah perempuan. Juga ketika imbasan yang kelihatan cuma seorang bayi, bila dilahirkan dia punya kembar.

Ini adalah kerana dengan sifat yang harus ada bagi Allah itu, Dia boleh melaksana, menangguh dan meniadakan sesuatu mengikut kehendak dan kuasaNya tanpa dipaksa oleh sesiapapun. Dia berkuasa samada hendak melahirkan seorang bayi ke dunia ataupun tidak, juga berkuasa untuk menangguhkan kematian seseorang sesuai dengan keagunganNya sebagai Tuhan Semesta Alam.

Kesimpulannya, qada' dan qadar itu sudah tercatat sejak azali dan kita sebagai seorang Islam wajib mengimaninya sebagai salah satu daripada rukun-rukun iman yang wajib dipercayai.

Wallahua'lam.

Tuesday, October 4, 2011

Kisah Kedengkian Abrahah (Bahagian 1)

“Tidakkah Engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera bergajah(yang hendak meruntuhkan Kaabah) ? Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka ? Dan ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berbondong-bondong, yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras . Lalu ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat,” (Al-Fill : 1-5).

Muqaddimah :

Surah Al-Fiil merupakan surah ke 105 di dalam Al-Quran. Al-Fill bermaksud gajah dan surah ini mengandungi 5 ayat dan merupakan surah Makkiyah.

Surah ini diturunkan bersempena dengan peristiwa pasukan bergajah dari Yaman yang dipimpin oleh Abrahah yang ingin meruntuhkan Ka'bah di Mekah. Allah menceritakan di dalam Al-quran yang peristiwa ini terjadi pada tahun Nabi Muhammad S.A.W. dilahirkan. Oleh yang demikian,tahun Rasulullah S.A.W. dilahirkan itu dinamakan dengan Tahun Gajah.

Siapakah Abrahah ?

Abrahah merupakan Gabenor yang mentadbir Yaman. Nama sebenarnya ialah Abrahah Bin As-Sobah Aba Yaksum dan dia merupakan seorang yang berketurunan Habsyi (Etophia).

Diceritakan di dalam kitab tafsir Al-Baghawi oleh Ibnu Ishak dari sebahagian ahli sejarah dari Said bin Jabir dan ‘Ikrimah dari Ibnu ‘Abbas dan disebutkan akannya oleh Al-Waqidi: bahawa pada ketika sebelum Abrahah dilantik menjadi Gabenor Yaman, Raja Habsyah iaitu An-Najashi telah mengutuskan seorang panglima bernama Aryath bersama bala tenteranya untuk menawan bumi Yaman akan tetapi dia telah gagal dan dikalahkan.

Tidak lama selepas itu An-Najashi mengutuskan pula 2 bala tentera; satu angkatan yang sekali lagi diketuai oleh Aryath dan satu angkatan lagi diketuai oleh Abrahah. Dalam pada itu telah berlaku perbalahan antara kedua mereka dan Aryath akhirnya terbunuh. Maka bergabunglah kedua-dua bala tentera ini di bawah kekuasaan Abrahah dan telah berjaya mereka untuk menguasai bumi Yaman. Lalu Abrahah telah mengutuskan surat kepada An-Najashi menceritakan segalanya dan telah dipersetujui oleh An-Najashi akan perbuatannya itu.

Mengapakah Abrahah ingin meruntuhkan Ka’abah ?

Penduduk asal negeri Yaman ialah orang-orang Arab yang beragama Hanafiah ( agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim A.S.) . Mereka selalu berkunjung ke Makkah untuk menunaikan ibadat di Kaabah. Oleh kerana Abrahah beragama Kristian,maka dia tidak mahu penduduk Yaman pergi ke Makkah lagi. Lalu Abrahah telah membina sebuah gereja yang besar di kota Sana’a dan Abrahah telah memerintahkan penduduk Yaman untuk beribadat di gerejanya yang diberi nama Al-Qulais itu.

Bangsa Arab yang berada di bawah jajahan takluknya dan Quraisy terutamanya menolak seruan tersebut sehingga ada salah seorang anggota suku Quraisy sangat marah bila mendengar akan hal ini dan dia telah pergi ke Sana'a . Dan seterusnya ke gereja tersebut pada malam hari dan mengotorinya dengan membuang najis di dalam bangunan tersebut.

Dan peristiwa pembuangan najis itu telah dilaporkan kepada Abrahah lalu tersangat marahlah Abrahah lalu dia mengeluarkan perintah ekspedisi penyerangan terhadap Makkah sambil bersumpah yang dia akan pergi sendiri ke sana dan merobohkan Kaabah dan mencungkil satu persatu batu-batu dindingnya.

Rujukan:
(1)Tafsir Ibnu Kasir
(2)Tafsir Al-Baghawi
(3)Sirah An-Nabawiah / Ibnu Hisham


Sumber asal :
http://abuhanif186.blogspot.com/2010/07/kisah-kedengkian-abrahah.html

Saturday, October 1, 2011

Israiliyyat Merosakkan Kesucian Al-Quran & As-Sunnah (Bahagian 1)

Penulisan kali ini akan berkisar mengenai pengertian israliyat dan bagaimana terserapnya ia dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Dan akan disambung mengenai bahayanya israiliyat ini terhadap aqidah umat Islam dan kesucian Islam, hukum dan pembahagiannya pada penulisan yang akan datang.

PENGERTIAN ISRAILIYAT :

Lafaz israiliyat (إسرائيليات) merupakan kata jamak (banyak) yang merujuk kepada kisah yang diriwayatkan dari bangsa Israil. Bangsa Israil pula merupakan keturunan Nabi Ya'kub bin Ishak bin Ibrahim iaitu ayah kepada keturunan 12 adik-beradik termasuk Nabi Yusuff as. Keturunan mereka ini disebut sebagai Bani Israil atau lebih tepat sebagai bangsa Yahudi.

Meskipun israiliyat ini pada asalnya hanya merujuk kepada kisah-kisah Yahudiah, para ulama' tafsir dan hadis memperluaskan penggunaannya kepada setiap sesuatu yang masuk ke dalam tafsir dan hadis yang terdiri daripada cerita-cerita yang tiada asalnya dari cerita lama. Ia hanyalah rekaan semata-mata oleh musuh-musuh Islam ' .

Sesungguhnya ulama' tafsir dan hadis mendefinasikan Israiliyat sebagai semua jenis rekaan kerana pada kebiasaannya,majoriti Yahudi lebih dari yang lainnya dalam hal demikian. Yahudi itu sendiri memang terkenal dengan kebatilan dan paling kuat memusuhi Islam. Ini ditegaskan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran (Surah Al-Maidah : 82 ) :

"Sesungguhnya engkau dapati yang paling keras memusuhi orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang yang mempersekutukan Allah" .

Yahudi merupakan golongan ahli kitab yang paling rapat kaitnya dengan Islam. Ini memberikan mereka peluang untuk merosakkan kesucian Islam. Atas sebab itulah semua kisah rekaan di dalam A-Quran dan As-Sunnah disandarkan kepada mereka.

MERESAPNYA ISRAILIYAT DALAM TAFSIR DAN SUNNAH :

Bermula meresapnya israiliyat ke dalam tafsir dan hadis didahului dengan kemasukan peradaban mereka (Yahudi) ke dalam peradaban Arab.

Sebelum kedatangan Islam, terdapat satu golongan daripada bangsa Arab Jahiliyyah yang merupakan ahli kitab yang ramainya berbangsa Yahudi yang dihalau ke semenanjung Arab dan juga orang-orang yang berpindah secara besar-besaran ke sana pada tahun ke-70 kelahiran Al-Masih kerana melarikan diri daripada azab dan siksaan yang dikenakan oleh Titus Ar-Rumi.

Maka golongan ini telah membawa bersama-sama mereka semasa penghijrahan apa yang mereka tahu mengenai ilmu dan pengetahuan yang diambil daripada kitab-kitab agama mereka yang diwarisi daripada generasi ke generasi.

Dan bangsa Arab di zaman jahiliyyah terutama kaum Quraish pula seperti sering melakukan perjalanan ke timur dan barat. Ini telah disebut dalam Al-Quran ( Surah Quraisy : 1-2) :

"Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy, iaitu mereka melakukan perjalanan pada musim sejuk dan musim panas" .

Perjalanan itu ialah ke Yaman pada musim sejuk dan ke Syria pada musim panas. Di sini, menetapnya majoriti golongan ahli kitab. Jadi tidak dapat dinafikan berlakunya pertemuan antara golongan Arab dan Yahudi lalu masuklah perbendaharaan ilmu Yahudi dalam bangsa Arab dek sempit dan terbatasnya ilmu pengetahuan Arab sebelum kedatangan Islam dan mereka terus-menerus mengambil pengetahuan daripada bangsa Yahudi.

Setelah penghijrahan umat Islam ke Madinah, yang menjadi jiran sekitar kota Madinah ialah beberapa golongan Yahudi seperti Banu Qainuqa' , Bani Quraizah dan sebagainya. Disebabkan kejiranan ini, maka berlakulah pertukaran ilmu pengetahuan. Nabi S.A.W bertemu mereka untuk menerangkan kepada mereka mengenai Islam dan mereka pula sering menjadikan Rasulullah sebagai hakim terhadap segala permasalahan mereka dengan menyoal baginda samada dengan tujuan mempermain-mainkan atau untuk menguji benarnya kenabian baginda.

Disebabkan sering berlakunya pertemuan umat Islam dan golongan Yahudi ini, berlakulah banyak perdebatan dan perbahasan yang menimbulkan pelbagai persoalan dan huraian. Adapun yang lebih utama daripada itu ialah dengan Islamnya beberapa ulama' dan ahli kitab mereka seperti Abdullah bin Salam, Abdullah bin Suria, Ka'ab al-Akhbar dan selainnya.

Sumber asal : http://abuhanif186.blogspot.com/2010/03/israiliyyat-merosakkan-kesucian-al.html
PaidVerts

Kalam Dari Pondok Tua

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...