Kata JIWA

Tuesday, October 4, 2011

Kisah Kedengkian Abrahah (Bahagian 1)

“Tidakkah Engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera bergajah(yang hendak meruntuhkan Kaabah) ? Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka ? Dan ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berbondong-bondong, yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras . Lalu ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat,” (Al-Fill : 1-5).

Muqaddimah :

Surah Al-Fiil merupakan surah ke 105 di dalam Al-Quran. Al-Fill bermaksud gajah dan surah ini mengandungi 5 ayat dan merupakan surah Makkiyah.

Surah ini diturunkan bersempena dengan peristiwa pasukan bergajah dari Yaman yang dipimpin oleh Abrahah yang ingin meruntuhkan Ka'bah di Mekah. Allah menceritakan di dalam Al-quran yang peristiwa ini terjadi pada tahun Nabi Muhammad S.A.W. dilahirkan. Oleh yang demikian,tahun Rasulullah S.A.W. dilahirkan itu dinamakan dengan Tahun Gajah.

Siapakah Abrahah ?

Abrahah merupakan Gabenor yang mentadbir Yaman. Nama sebenarnya ialah Abrahah Bin As-Sobah Aba Yaksum dan dia merupakan seorang yang berketurunan Habsyi (Etophia).

Diceritakan di dalam kitab tafsir Al-Baghawi oleh Ibnu Ishak dari sebahagian ahli sejarah dari Said bin Jabir dan ‘Ikrimah dari Ibnu ‘Abbas dan disebutkan akannya oleh Al-Waqidi: bahawa pada ketika sebelum Abrahah dilantik menjadi Gabenor Yaman, Raja Habsyah iaitu An-Najashi telah mengutuskan seorang panglima bernama Aryath bersama bala tenteranya untuk menawan bumi Yaman akan tetapi dia telah gagal dan dikalahkan.

Tidak lama selepas itu An-Najashi mengutuskan pula 2 bala tentera; satu angkatan yang sekali lagi diketuai oleh Aryath dan satu angkatan lagi diketuai oleh Abrahah. Dalam pada itu telah berlaku perbalahan antara kedua mereka dan Aryath akhirnya terbunuh. Maka bergabunglah kedua-dua bala tentera ini di bawah kekuasaan Abrahah dan telah berjaya mereka untuk menguasai bumi Yaman. Lalu Abrahah telah mengutuskan surat kepada An-Najashi menceritakan segalanya dan telah dipersetujui oleh An-Najashi akan perbuatannya itu.

Mengapakah Abrahah ingin meruntuhkan Ka’abah ?

Penduduk asal negeri Yaman ialah orang-orang Arab yang beragama Hanafiah ( agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim A.S.) . Mereka selalu berkunjung ke Makkah untuk menunaikan ibadat di Kaabah. Oleh kerana Abrahah beragama Kristian,maka dia tidak mahu penduduk Yaman pergi ke Makkah lagi. Lalu Abrahah telah membina sebuah gereja yang besar di kota Sana’a dan Abrahah telah memerintahkan penduduk Yaman untuk beribadat di gerejanya yang diberi nama Al-Qulais itu.

Bangsa Arab yang berada di bawah jajahan takluknya dan Quraisy terutamanya menolak seruan tersebut sehingga ada salah seorang anggota suku Quraisy sangat marah bila mendengar akan hal ini dan dia telah pergi ke Sana'a . Dan seterusnya ke gereja tersebut pada malam hari dan mengotorinya dengan membuang najis di dalam bangunan tersebut.

Dan peristiwa pembuangan najis itu telah dilaporkan kepada Abrahah lalu tersangat marahlah Abrahah lalu dia mengeluarkan perintah ekspedisi penyerangan terhadap Makkah sambil bersumpah yang dia akan pergi sendiri ke sana dan merobohkan Kaabah dan mencungkil satu persatu batu-batu dindingnya.

Rujukan:
(1)Tafsir Ibnu Kasir
(2)Tafsir Al-Baghawi
(3)Sirah An-Nabawiah / Ibnu Hisham


Sumber asal :
http://abuhanif186.blogspot.com/2010/07/kisah-kedengkian-abrahah.html

No comments:

Post a Comment

PaidVerts

Kalam Dari Pondok Tua

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...