Kata JIWA

Tuesday, October 11, 2011

Israiliyat Merosakkan Kesucian Al-Quran & As-Sunnah (Bahagian 2)

Setelah pada penulisan yang lalu penulis menceritakan secara ringkas bagaimana permulaan tersebarnya israiliyat ke dalam komuniti umat Islam, pada penulisan ini penulis ingin menyatakan secara ringkas bagaimana ia boleh menyerap masuk ke dalam tafsir dan juga hadis.

Secara ringkasnya, israiliyat itu tersebar ke dalam tafsir dan hadis melalui dua marhalah utama iaitu marhalah pengriwayatan dan juga marhalah pembukuan. Dan sebab utama berlakunya perkara ini ialah hilangnya sanad hadis sehingga tidak dapat dibezakan antara hadis yang sahih dan dhoif termasuk di dalam kitab-kitab tafsir yang hanya ditulis matan hadis tanpa disebutkan perawinya. Dan jika ada disebutkan sanad dan perawinya pun, hadis yang dibaca dan ditulis itu tidak dinyatakan tentang martabatnya samada ianya sahih atau dhoif. Maka bermula dari itu telah tersebarlah dengan luasnya kisah-kisah israiliyat dalam kitab-kitab tafsir.

BAHAGIAN-BAHAGIAN ISRAILIYAT:

Israiliyat itu secara ringkasnya terbahagi kepada 3 bahagian berdasarkan beberapa cabang ilmu.

1) Ilmu hadis : Dikira pada sahih dan dhoif hadis.

2) Ilmu syariat : Dikira pada menyamai syariat,menyanggahi syariat dan yang didiamkan padanya

3) Ilmu aqidah : Dikira pada yang ada kaitan dengan akidah, hukum dan nasihat.

Meskipun para ulamak membahagikan israiliyat ini berdasarkan beberapa cabang ilmu iaitu ilmu hadis,syariat dan aqidah, tetapi jika dikaji dengan lebih mendalam sangat jelas dan nyata bahawa bahagian-bahagian itu lebih kurang bentuknya antara satu sama yang lain. Ia tidak lari dari menyatakan mengenai maqbul(diterima) mardud(ditolak) dan taraddud baina maqbul wa mardud (yang didiamkan atau tidak dihukum padanya) pada sesuatu kisah israiliyat itu.

HUKUM MERIWAYATKAN ISRAILIYAT

Sebelum kita menyebut dengan lebih lanjut mengenai hukum meriwayatkan israiliyat ini terlebih dahulu marilah kita merenung nas-nas dari Al-Quran dan As-Sunnah dalam hal meriwayatkannya.

1) Dalil-dalil larangan meriwayatkannya:

Begitu banyak hadis-hadis yang menegah pengriwayatan isarailiyat antaranya :

Sabda Rasulullah S.A.W : "Janganlah kamu membenarkan kata-kata ahli kitab dan jangan pula kamu menuduh mereka berdusta. Tetapi katakanlah " Kami beriman terhadap Allah dan apa yang diturunkanNya terhadap kami, hingga akhir hayat." (Fathul Bari- Sahih Muslim)

Berkata Ibnu Mas'ud : "Janganlah kamu tanya kepada ahli kitab. Sesungguhnya mereka itu tidak dapat memberikan petunjuk kepada kamu. Sesunnguhnya mereka itu telah menyesatkan diri mereka sendiri. Sekiranya kamu bertanyakan kepada mereka mungkin kamu akan menyatakan dusta terhadap perkara yang hak atau menyatakan benar terhadap perkara yang batil . " ( Fathul Bari- Hadis diriwayatkan oleh Abdul Razzak dalam musnadnya dari Harith bin Zuhair dan juga diriwayatkan oleh Sufian As-Sauri dengan lafaz yang hampir sama)

2) Dalil-dalil pengharusan:

Firman Allah Taala : "Dan sekiranya engkau masih ragu-ragu tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada engkau,tanyakanlah kepada orang-orang yang membaca kitab sebelum engkau,".

Firman Allah Taala lagi : "Katakanlah: Adakah kamu perhatikan,jika Al-Quran itu datang dari sisi Allah dan kamu menyangkalnya, dan seorang saksi dari Bani Israil menjadi saksi serupa itu lalu dia beriman, tetapi kamu menyombongkan diri?" (Al-Ahqaf:10)

Daripada Abdullah bin Umar bahawa Nabi S.A.W telah bersabda : "Sampaikanlah dariku walau satu ayat,dan ceritakan tentang Bani Israil,tidak mengapa. Dan barangsiapa yang berdusta terhadapku secara sengaja,maka Allah telah menyediakan untuknya satu tempat di neraka." (Sahih Bukhari)

Nas-nas di atas hanyalah sebahagian daripada dalil yang menunjukkan ke atas tegahan dan pengharusan mengriwayatkan israiliyat sedangkan di sana banyak lagi nas-nas untuk menunjukkan atas yang demikian itu.

Ringkas katanya apabila digandingkan antara nas tegahan dan pengharusan ini, maka bolehlah penulis nukilkan seperti berikut:

"Setiap cerita yang diriwayatkan yang bertepatan dengan syarak kita boleh membenarkannya, dan harus hukumnya meriwayatkannya. Dan setiap cerita yang bercanggah dengan syarak pula,maka hendaklah kita dustakan dan haram hukum meriwayatkannya melainkan sesudah diterang akan kebatilannya. Yang didiamkan oleh syarak pula,harus kita tawaqquf,kita tidak boleh menghukumnya benar atau dusta. Dan harus pula kita riwayatkannya kerana pada lazimnya ia berkisar pada kisah dan cerita,tiada kaitan dengan aqidah dan hukum. Riwayat itu pula hanya merupakan hikayat seperti yang tersebut dalam kitab mereka atau yang mereka (ahli kitab) ceritakan berdasarkan pandangan yang hak mahupun batil.".

Penulis nukilkan juga kata-kata Imam Ibnu Taimiyah di dalam kitabnya 'Muqaddimah fi Usul Al-Tafsir' yang menyebut :

"Walau bagaimanapun,hadis-hadis israiliyat ini disebut untuk menjadi bukti,bukanlah menjadi i'tiqad. Ia terbahagi kepada tiga bahagian : Pertama :- Cerita yang kita tahu kesahihannya berdasarkan nas yang benar,maka ia adalah sahih. Kedua:- Cerita yang kita tahu dustanya berdasarkan nas yang bercanggah dengannya. Ketiga:- Cerita yang didiamkan oleh syarak, bukan sahih dan bukan dusta,maka kita tidak boleh percaya dan juga tidak boleh pula mendustakannya. Dan haram pula menghikayatkannya seperti yang telah disebut sebelum ini."
Seterusnya,kata-kata Imam Al-Buqa'i di dalam kitabnya Al-Aqwal Al-Qawimah fi Hukmi An-Naqli min Al-Kutub Al-Qadimah' :

"Hukum menukil (mengambil riwayat) daripada Bani Israil walaupun pada perkara yang tidak dibenarkan oleh kitab-kitab dan tidak didustakan hukumnya harus dan meski perkara yang dinukil itu tidak kukuh. Begitu juga apa yang dinukilkan daripada selain Bani Israil dari klangan penganut agama batil yang lain. Ini adalah kerana maksud pengharusan itu hanya untuk mengetahui sahaja,bukan untuk dijadikan pegangan. 

Berlainan dengan apa yang dijadikan dalil dalam syarak kita,maka sesungguhnya ia merupakan pegangan dalam berhujah untuk menegakkan kebenaran agama,maka ia mestilah kukuh. Dalil-dalil yang ada di sisi kita ada 3 bahagian : nas-nas maudhu',nas-nas dhaif dan selainnya. Maka nas yang bukan maudhu' dan dhaif; benar-benar dhaif boleh dijadikan hujah.

Nas dhaif yang boleh dijadikan pegangan untuk targhib (perangsang dalam beramal) dan nas maudhu' disebut untuk menerangkan peringatan dari cerita itu bahawa ia adalah dusta. Apabila berlaku persamaan apa yang dinukil oleh para ulama' kita dari ahli agama untuk dujadikan dalil syarak dengan apa yang dinukil oleh ahli kitab maka gugurlah ia dari barisan 3 bahagian yang tersebut di atas untuk dujadikan hujah. Sesunnguhnya tidak boleh menukilkan daripada mereka perkara yang tetap hukumnya daripada hukum-hukum kita. Perkara yang diakui benar oleh kitab kita (AlQuran), harus hukum menukilnya walaupun jika ia tidak termasuk dalam perkara yang berkait dalam hukum mau'izah (peringatan)untuk kita. cerita yang diakui dusta oleh kitab kita,maka ia samalah seperti maudhu'-tidak boleh menukilnya melainkan beserta keterangan mengenai kebatilannya,".


Sumber asal : http://abuhanif186.blogspot.com/2010/04/israiliyat-merosakkan-kesucian-al-quran.html

No comments:

Post a Comment

PaidVerts

Kalam Dari Pondok Tua

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...