Kata JIWA

Showing posts with label Sains Dan Al-Quran. Show all posts
Showing posts with label Sains Dan Al-Quran. Show all posts

Thursday, September 19, 2013

Rahsia Pergerakan Dalam Solat [Bahagian 5]

Definasi Sujud

Sujud merupakan perkataan Arab yang membawa maksud perbuatan meletakkan dahi, hidung, kedua-dua telapak tangan, kedua-dua lutut dan kedua-dua perut anak jari-jari kaki pada keadaan serentak di lantai dengan tujuan tertentu kerana Allah pada waktu dan masa-masa tertentu. Ketika sujud, Muslim dikehendaki membaca bacaan tertentu dalam perbuatannya itu.

Sesuai dengan sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :

"Aku diperintah (oleh Allah) bahawa aku sujud di atas tujuh anggota, di atas dahi dan diisyarat dengan tangannya di atas hidungnya,dan dua tangan dan dua lutut dan perut-perut anak jari dua kaki". (Hadis Muttafaqun Alaih)


Sujud Dari Sudut Sains & Kesihatan

1. Sujud memberikan tekanan ke atas sendi kedua tangan yang membantu peredaran darah di kawasan berkaitan.

2. Tekanan ketika sujud juga sampai kepada kedua lutut dan tulang telapak kaki; yang membantu menguatkan sendi pada kawasan tersebut dan mencegah berlakunya kerapuhan tulang kaki.

3. Dengan melakukan sujud secara berterusan, rasa sakit yang muncul pada otot kedua telapak kaki dapat diatasi. Ini kerana otot depan kedua kaki akan menegang ketika sujud.

4. Sujud yang lama dalam solat meningkatkan daya tahan pada otot lengan dan leher yang merupakan salah satu unsur kesegaran tubuh.Perkongsian beban antara lengan dan leher ketika sujud juga akan mencegah terbentuknya asid laktik yang secara perlahan dapat memutuskan isyarat saraf dan otak.

5. Kedudukan kedua kedua telapak kaki yang ditegakkan ketika sujud dapat menegangkan otot pada betis dan menambah kelenturannya; yang menambah kelincahan dan ketangkasan dalam pergerakan seharian.

6.Kedudukan ketika sujud sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah S.A.W. juga mampu mencegah penyakit kaki rata (flat foot). Penyakit kaki ratalah inilah yang menjadikan manusia berisiko mengalami gegaran otak ketika melompat dari tempat yang tinggi kerana tidak ada lengkungan kaki yang menahan pelanggaran dengan tanah pijakan. Penyakit kaki ratalah ini juga penyebab kehilangan atau kekurangan kepantasan di dalam pergerakan manusia.

(Rukun Solat Secara Logik / Imam Musbikin / ms110-114)

Demikianlah secara ringkas kebaikan sujud dalam solat untuk tubuh badan dari sudut kesihatan manusia. Sujud juga merupakan rukun solat yang paling luhur kerana perkara tersebut menunjukkan sikap tunduk, patuh dan berserah diri kepada Allah S.W.T.  Kerana itulah Rasulullah S.A.W. menyuruh kita memperbanyakkan sujud dan berdoa ketika sujud.

Wallahua'lam.

Tuesday, September 11, 2012

Rahsia Pergerakan Dalam Solat [Bahagian 4]

Rukuk

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Ali Karamallu Wajhah menceritakan bagaimana perlunya belakang lurus ketika rukuk. Seandainya segelas air diletakkan di atasnya, air itu tidak akan tumpah sedikit pun. 


Pergerakan untuk rukuk serta perbuatan rukuk itu sendiri sebenarnya memberikan banyak manfaat kepada tubuh dari sudut kesihatan. Antaranya :

1. Dengan menekan kedua-dua tangan ke tempurung lutut dapat membantu aliran darah ke kawasan ini. Ini kerana dalam pergerakan biasa, darah tidak akan berkumpul serta mengalir pada kawasan tempurung lutut.

2. Kedudukan tulang belakang yang lurus ketika rukuk pula dapat menguatkan otot tulang belakang serta otot kedua betis dan paha. Dan inilah kaedah yang sering digunakan oleh pakar perubatan bagi mengubati pengakit tulang belakang serta ganggunan saraf pada bahagian belakang badan.

3. Dalam pergerakan rukuk, otot akan semakin menegang dan memanjang. Ini sebenarnya dapat memberikan kelenturan kepada tubuh yang merupakan satu unsur bagi meberikan kesegaran kepada tubuh.

4. Adapun dua kaki yang sedikit bengkok ke belakang dan badan yang membongkok ke depan dan lurus dapat mengurangkan tulang pinggul yang senget pada bahagian tulang belakang, sekaligus menjaga agar belakang tetap lurus.

5. Manusia umumnya akan membongkok ke depan bila semakin meningkat usianya. Hal ini merupakan perkara biasa kerana manusia umumnya melihat ke arah hadapan dan juga arah bawah. Jadi dengan melakukan pergerakan turun dan naik dari rukuk, berupaya untuk mengatasi masalah bongkok.

Wallahua'lam.

Rujukan : Rukun Islam Secara Logik / Imam Musbikin


Monday, June 11, 2012

Rahsia Pergerakan Dalam Solat (Bahagian 3)

Meletakkan Tangan Di Dada Ketika Solat

Meletakkan tangan di dada merupakan pergerakan kedua setelah takbir. Banyak hadis-hadis yang diriwayatkan menyebutkan bahawa Baginda Nabi S.A.W meletakkan tangan kanan di atas tangan kirinya dan tempat letaknya pula adalah pada dada; antara tulang rusak dan pusat.

Dari Thawus, “Rasulullah S.A.W selalu meletakkan tangan kanan di atas tangan kirinya lalu menekankan keduanya pada dadanya ketika beliau sedang solat.” [HR Abu Daud].

Dan dari Wa’il bin Hujr, “Bahawasanya dia melihat Nabi S.A.W meletakkan tangan kanan di atas tangan kirinya dan kemudian meletakkan keduanya pada dadanya.” [HR Ibnu Khuzaimah & Al-Baihaqi]

Rujukan : SINI

Para ulama' menyatakan bahawa meletakkan tangan seperti sebegini dapat mendatangkan kekusyukan ketika solat didirikan. Meskipun terdapat beberapa hadis lain yang menceritakan tentang Rasulullah S.A.W meletakkan tangannya selain daripada dada ketika solat seperti di bawah pusat dan sebagainya, namun tempat-tempat yang lain itu menjadi perselisihan para ulama' hadis. Wallahua'lam.

Seterusnya apakah kebaikan serta hikmah meletakkan tangan seperti ini untuk kesihatan jasmani dan rohani?

Gambar Hiasan

Menurut kajian, meletakkan dua tangan pada dada, tepatnya antara pusat dan tulang rusuk merupakan kedudukan yang paling baik bagi anatomi tubuh. Buktinya, jika seorang patah tangan, maka lengannya akan digips dengan bahagian dalam tangan mengadap ke dada bagi merawat pesakit yang mengalami kepatahan tadi dan kaedah ini menyerupai pergerakkan dalam solat tadi.

Meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri pula, dapat memastikan kesejajaran kedua bahu di samping menguatkan kedua-duanya. Bahkan dengan kedudukan seperti ini juga, dua telapak kaki dapat dikuatkan kerana keduanya berpijak di tempat yang sama dengan tumpuan bahagian tulang pinggul dapat dibahagikan pada dua sisi bahagian bawah. Bahkan menurut kajian juga, kedudukan seperti ini mampu mengubat serta mencegah kebengkokan tulang belakang jika diamalkan secara berterusan.

(Rukun Islam Secara Logik / Imam Musbikin / ms.98-100)

Kesimpulannya, kedudukan dalam solat seperti ini dapat menjadi terapi untuk keseimbangan kedua-dua telapak kaki, tulang pinggul dan belakang serta mampu mengelakkan kesakitan pada bahagian leher dan kawasan berhampirannya.

Wallahua'lam.

Friday, March 9, 2012

Rahsia Pergerakan Dalam Solat (Bahagian 2)

Jika pada bahagian yang pertama dulu (SINI) kita telah membicarakan tentang rahsia pergerakan dalam solat secara ringkas, InsyaAllah pada penulisan kali ini akan diperincikan lagi penulisan ini dengan mengikut rukun-rukun yang terdapat di dalam solat.

Mengangkat Kedua Tangan Ketika Takbiratul Ihram

Menurut Dr Faridah Al-Balusyi, Ketua bidang rawatan semulajadi di Hospital Tentera di Bahrain, takbir sambil mengangkat kedua tangan sampai ke atas pada saat memulakan solat sesungguhnya merupakan pergerakan menegangkan otot dada ke atas. Oleh kerana itu, ketika seorang bertakbir dalam solat lima kali dalam sehari, otot dada, sendi bahu sehingga ke belakang serta otot kedua bahu akan menjadi kuat.

Perlu diketahui bahawa pakar rawatan semulajadi memperkenalkan latihan pergerakan seperti pergerakan solat kepada orang sakit untuk menguatkan untuk menguatkan dan meluruskan belakang dan ini sama dengan pergerakan takbir ketika solat.

Mengangkat kedua tangan dengan sejajar pada kedua bahu, mengarahkan dua telapak tangan ke kiblat dan siku di sebelah, menjadikan dua tulang belikat yang berada di belakang kembali sejajar dan rata. Dengan cara ini, kita dapat melindungi bahu dan belakang dari bongkok. Apabila dilakukan secara rutin dalam solat, perkara ini akan melindungi dan boleh menjadi terapi dari gangguan kebongkokan.

(Rukun Islam Secara Logik / Imam Musbikin / ms.96-97)

Oleh kerana itulah, dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawasanya Rasulullah S.A.W mengangkat kedua tangannya dengan lurus sehingga sejajar dengan bahu ketika mengangkat takbir.

(Rujuk hadis ini di dalam Sohih Bukhari & Sohih Muslim bab perihal solat Nabi)

Maksud mengangkat tangan dengan lurus : Kedua tangan direntangkan dan jari-jemari diluruskan.

Meskipun kelihatan mudah, namun masih ramai yang kurang menitikberatkan tentang hal ini ketika mendirikan solat. Mengangkat kedua tangan dengan cara ini ketika takbir, sebenarnya amat baik untuk melatih otot dan urat jari sesuai dengan tuntutan pekerjaan seharian yang memerlukan penggunaan tangan. Sememangnya perkara ini tidak seberapa jika hendak dibandingkan dengan saiz otot-otot yang lain terdapat pada tubuh, namun mengulangi pergerakan ini berulang kali dapat melancarkan perjalanan darah pada jari-jemari tangan.

Subhanallah, alangkah indahnya jika kita semua mampu mencontohi sifat solat Nabi S.A.W kerana di dalamnya terkandung rahsia dan hikmah yang begitu banyak sekali. 

Friday, February 3, 2012

Rahsia Pergerakan Dalam Solat (Bahagian 1)

Solat fardhu yang dilakukan 5 kali sehari semalam sebenarnya memberikan manfaat yang besar kepada manusia bukan sahaja dari segi rohani bahkan juga dari segi fizikal. Para doktor moden memperakui bahawa pergerakan di dalam solat penting buat kesihatan.

Ahmad Bin Salim Baduweilan dalam bukunya At-Tadawi bi As-Solah menuliskan beberapa manfaat solat dari segi fizikal yang dapat dirasakan oleh orang yang menunaikan (melakukan) solat antaranya :

1. Memperbaiki fungsi hati.
2. Meluaskan urat arteri dan vena serta menghidupkan rangkaian saraf.
3. Mengaktifkan organ pencernaan.
4. Menguatkan antibodi badan.
5. Meningkatkan stamina tubuh dan otak.
6. Menambah tenaga.
7. Menajamkan tumpuan dan menguatkan hafalan.
8. Membaiki sifat dalam diri supaya menjadi lebih teratur.
9. Memanaskan badan secara umum (terutama untuk mereka yang bersukan).

(Rukun Islam Secara Logik / Imam Musbikin / ms.92-93)

Dari sebahagian manfaat yang telah disebut sebagaimana di atas, bolehlah kita ungkapkan bahawa solat sebenarnya berupa senaman untuk tubuh badan tanpa kita kita sedari. Pergerakan dalam solat menjadikan otot, saraf, salur darah dan rangkaiannya senantiasa lentur dan peratusan diri untuk ditimpa penyakit-penyakit kronik juga adalah lebih nipis berbanding mereka yang tidak bersolat.

Maka, "Bersolatlah Untuk Keredhaan Ilahi Disamping Menyihatkan Diri".

Friday, October 14, 2011

Rahsia Waktu Solat Yang Teratur

Firman Allah Taala dalam surah An-Nisa' ayat 103 yang bermaksud:

"Maka apabila kamu telah menyelesaikan solat, ingatlah Allah di waktu berdiri, di waktu duduk dan di waktu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa aman, maka dirikanlah solat itu (sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah fardhu yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman."

Dari sudut pandangan kesihatan, ternyata solat yang dilakukan secara teratur dapat memberi hikmah pada kesihatan. Satu kajian menjelaskan bahawa solat yang dilaksanakan dengan teratur amat berpotensi untuk menambah kekuatan orang yang melaksanakannya dalam menjaga tekanan darah agar tidak melebihi kadar normal.

Sebuah majalah perubatan rakyat yang terbit di Jerman memuatkan satu kajian yang mengambil 155 orang Amerika dari ras Afrika yang berusia 25-45 tahun untuk dipantau tekanan darahnya selama 24 jam. Hasilnya adalah tekanan darah mereka lebih rendah dari rata-rata orang biasa.

Dan ternyata orang yang dikaji tersebut adalah orang-orang yang bertaqwa dan amat berpegang teguh kepada agama. Mereka mengatakan bahawa golongan tersebut adalah orang membiasakan diri menunaikan solat.

( mukasurat 89 : Rukun Islam Secara Logik / Imam Musbikin)

Maka renunglah kembali maksud firman Allah S.W.T di dalam ayat diatas yang memerintahkan kita untuk menunaikan solat secara tearatur waktunya, kerana yang pasti di sebalik setiap suruhan-Nya terkandung rahsia dan hikmah yang amat besar.

Wallahua'lam.

Thursday, September 8, 2011

Bila Bumi Diganti Dengan Bumi Yang Lain Seumpamanya

Para ilmuan metafizik berpendapat bahawa proses perluasan alam semesta tidak mungkin merupakan proses yang tidak akan berakhir, kerana proses tersebut merupakan proses yang dihasilkan dari letupan pertama.

Apabila proses perluasan alam semesta pada hari ini lebih lambat dari proses yang terjadi pada permulaan, maka di alam ini akan terjadi sebuah masa di mana dua kekuatan akan mempunyai kecepatan yang sama iaitu kekuatan kekuatan yang terdorong dari luar dengan melalui proses letupan dan yang kedua proses penarikan kekuatan ke dalam bentuk yang sangat indah.

Kemudian dengan dorongan energi (tenaga) yang terpancar keluar terjadilah sebuah kekuatan energi yang menarik di seluruh permukaan alam semesta dalam sebuah partikel yang menyerupai partikel pertama diciptakan alam. Para ilmuan menyebutkan kontemporari menyebut teori ini dengan sebutan The Big Crunch Theory (Teori Keruntuhan Besar).

Dan The Big Crunch Theory merupakan lawan kepada The Big Bang Theory di mana dalam kondisi ini alam semesta mula mengecut. Galaksi-galaksi mulai saling mendekat dan bintang-bintang termasuk tata suria saling berlaga atau dengan kata lain 'jatuh' antara satu sama lain. Alam semseta makin mengecut ukurannya dan akhirnya semua materi di alam semesta akan runtuh kembali menjadi satu kesatuan seperti pada awal penciptaannya.

Al-Quran sendiri, jauh 1400 tahun yang silam telah memberikan gambaran proses mobililasi ini dalam firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

"(Iaitu) pada hari kami gulung langit seperti menggulung lembaran-lembaran kertas sebagaimana kami telah memulai penciptaan pertama begitulah kami akan mengulanginya. Itulah satu janji yangpasti akan kami tepati. Sesungguhnya Kamilah yang akan menepatinya," (Al-Anbiya':104).

Cuba kita amati dengan saksama keindahan Al-Quran dalam menggambarkan permasalahan ini iaitu sebgaiman proses pertama penciptaan alam semesta terjadi, begitu jugalah proses alam alam selanjutnya, adalah dengan ketentuan Allah S.W.T.

Alam raya ini di masa akan datang akan kembali ke material pertama kali ia diciptakan, iaitu ke dalam sebuah partikel kecil yang sangat padat, dan tidak ada yang mengetahui hal ini melainkan Allah S.W.T. Kemudian, partikel ini meletus dan berubah menjadi gumpalan-gumpalan asap dan daripada asap inilah diciptakan bumi untuk menggantikan bumi dan langit untuk menggantikan langit.

Firman Allah Taala dalam surah Ibrahim ayat 48 yang bermaksud :

"Iaitu pada hari ketika bumi diganti dengan bumi yang lain dan (demikian pula) langit,".

Kesimpulannya, kisah penciptaan alam semesta yang dikisahkan dalam Al-Quran adalah sangat terperinci, juga mengandungi mikjizat yang mengagumkan. Bahkan sehingga akhir kurun ke-20 pun tidak ada seorang ilmuan moden yang boleh menggambarkan proses penciptaan alam sebagaiman gambaran yang telah diberikan dalam kitab suci Al-Quran.

Wallahua'lam.

Dipetik daripada : Cahaya Di Atas Cahaya / Prof. Dr. Zaglul An-Najjar / Perterjemah : Mujahidin Nuryadi / Pustaka Al-Shafa / Cetakan Kedua 2009

Friday, July 1, 2011

Bergeraknya Gunung-Ganang

Cuba kita amati dan perhati kewujudan gunung-ganang,apakah ia hanya diam kaku dan statik di tempatnya?

Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Naml ayat 88 yang bermaksud :

" Dan kamu melihat gunung-ganang itu ,kamu sangka ia tetap di tempatnya,padahal ia bergerak cepat seperti bergeraknya awan. ( Demikianlah ) perbuatan Allah yang membuat dengan kukuh setiap sesuatu , " .

Di dalam banyak kitab tafsir,para mufassirin berpendapat bahawa gunung-ganang sememangnya bergerak. Akan tetapi jika dengan sekali amatan,memang kita sukar melihatnya. Ini kerana jirim-jirim yang berkumpul dalam bilangan yang besar dan banyak dalam hal keadaan ianya saling bertempek atau bersatu jika ia bergerak sudah tentulah pergerakannya itu laju seperti lajunya gerakan awan lalu terlepas dari pandangan mata.

Pandangan ini ditolak bulat-bulat oleh para sainstis moden sehinggalah pada tahun 1915 apabila buat pertama kalinya dalam sejarah,seorang sainstis dari Jerman , Alfred Wegener tampil dengan teori 'Continental Drift' iaitu apungan benua dengan mengemukakan yang gunung-ganang mahupun benua-benua bergerak secara perlahan-lahan.

Gerakan gunung-gunung ini disebabkan oleh gerakan kerak bumi. Kerak bumi ini boleh diibaratkan seperti rakit yang terapung di atas mantel astenosfera yang bergerak. Atau boleh juga kita sebut seperti iceberg yang terapung di atas air laut.

Menurut beliau, benua-benua yang ada pada hari ini pada asalnya saling bergabung. Disebabkan peredaran masa,jirim-jirim yang ada padanya telah bergerak dalam arah yang berbeza-beza sehingga terpisah lalu membentuk benua.

Kajian geologi mendapati bahawa pergerakan benua bervariasi antara 10cm per tahun secara terus-menerus. Oleh yang yang demikian,geografi bumi berubah secara perlahan tanpa kita sedari.

Malangnya, teori Alfred ini diketawakan oleh sainstis lain kerana dianggap pelik dan aneh . Selepas lima tahun kematian beliau barulah teori ini mula diterima oleh komuniti sainstis dunia. Maka bermula dari tahun 1980,teori ini telah mula diguna pakai dengan beberapa penambahbaikan.

Dari sini mula timbulnya teori-teori baru mengenai ilmu geologi seperti kejadian gempa bumi,gunung berapi dan sebagainya. Dan yang paling menakjubkan,dengan perkembangan teknologi yang ada pada hari ini,jika dicantumkan kesemua benua-benua yang ada di atas peta ia mewujudkan satu cantuman yang berpadanan antara satu benua dengan benua yang lain.

Benarlah segala yang di dalam Al-Quran yang menjadi mukjizat,yang kekal sehingga hari kiamat.

Rujukan:
1.Kitab-kitab tafsir (versi Maktabah Syamilah)
2.Majalah Infiniti ( Februari 2010)

Monday, June 27, 2011

Sains & Al-Quran...

Sehingga ke hari ini,para saintis Islam mahupun Barat masih terus mengkaji Al-Quran berdasarkan sains. Maka semakin dicari dan digali,semakin banyak banyak keajaiban yang ditemui. Al-Quran telah mendahului bidang sains sendiri dalam memperkatakan mengenai rahsia alam ini:alam manusia,haiwan,tumbuhan juga segala apa yang tidak mampu dilihat dengan mata kasar kita.

Tentu kita semua pernah mendengar mengenai kisah Nabi Muhammad S.A.W membelah bulan? Peristiwa ini dirakamkan di dalam Al-Quran surah Al-Qamar ayat 1&2.

Firman Allah Taala dalam surah itu yang bermaksud:

" Telah datang saat itu dan telah terbelah bulan. Dan jika mereka (orang-orang musyrikin) melihat satu tanda (mukjizat), mereka berpaling seraya berkata: " ini adalah sihir yang terus menerus".

Satu hari,orang-orang musyrik mengejek dan memperolok-olokkan Rasulullah sambil berkata, "Wahai Muhammad,jika benar engkau seorang Nabi dan Rasul,cuba tunjukkan kepada kami satu kehebatan yang bisa membuktikan kenabian dan kerasulanmu,".

Rasullulah lalu bertanya, "Apa yang kalian inginkan?".

Mereka menjawab, "Cubalah belah bulan...".

Rasulullah kemudian berdiri dan terdiam. lalu baginda berdoa memohon kepada Allah supaya membantunya. Allah memberitahu Nabi supaya mengarahkan jari telunjuknya ke bulan. Baginda pun melakukan yang demikian. Dengan izin Allah,bulan pun terbelah. Malangnya orang-orang musrikin tetap tidak percaya dengan berkata, "Benarlah engkau telah menyihir kami!".

Bagi mendapatkan kepastian itu,mereka sanggup menunggu rombongan pertama yang baru sampai ke kota Mekah dan bertanya, "Adakah kalian melihat sesuatu yang aneh pada bulan?".

Mereka menjawab, "Ya benar. Pada satu malam yang lalu,kami melihat bulan terbelah menjadi dua dan kemudian bersatu kembali!" . Maka sebahagian mereka itu kembali beriman,sebilangan lagi tetap kafir lagi ingkar...

Astronout (angkasawan) NASA yang mendarat di bulan pada 20 Julai 1969 mnenerusi pesawat Apollo II mendapati pada bulan memang terdapat kesan rekahan. Yang lebih menghairankan, lekukan rekahan itu sampai ke dalam perut bulan. Komuniti geologi yang memerhatikan pembentukan itu berpendapat bekas rekahan itu tidak mungkin terjadi melainkan sekiranya bulan sememangnya pernah terbelah dan bercantum kembali.

Bagaimanapun,saintis barat cuba tidak mahu mengakui kesahihan itu dengan mengatakan rekahan itu adalah Rille (gegalur lembah seperti rekahan atau parit yang panjangnya hingga beberapa ratus kilometer dan lebarnya 1-12 kilometer yang terdapat di permukaan bulan).

Meskipun begitu,sainstis barat mengaitkan banyak spekulasi mengenai asal-usul Rille. Mereka berpendapat bahawa komet pada suatu masa dulu pernah menghentam bulan sehingga menyebabkan hampir terbelah. Teori lain pula menyebut,lekukan itu berkemungkinan bekas kanal atau saluran lava yang keluar daripada perut bulan tidak lama dahulu.

Sainstis barat terus menegaskan bahawa walaupun Rille ditemui di hampir semua titik di permukaan bulan,tetapi kesan itu tidak dilihat mengelilingi seluruh permukaan bulan. Paling panjang yang direkodkan cuma sekitar 300 kilometer. Ini hanya hipotesis sainstis barat.

Kisah di atas hanya sebahagian kecil yang merujuk kepada ijazul ilmi dalam Al-Quran. Terlalu banyak rahsia yang belum dikaji dan dileraikan. Sainstis barat yang sering tidak mempercayai wujudnya Tuhan dan mengkaji demi ilmu sains semata-mata tidak menduga mereka akan bertemu Al-Quran pada akhirnya.

Soalnya,apakah kita perlu membuktikannya? Kekuasaan Allah pasti tidak boleh diukur dengan sejarah,geologi,arkeologi,bahkan teknologi tercanggih sekalipun. Al-Quran tetap kekal sebagai mukjizat sampai bila-bila. Sedangkan kita, hanya makhluk yang memiliki segala kebatasan yang hanya bercakap melalui andaian dan sedikit ilmu yang dikurniakan Allah kepada kita.

Sumber asal : http://abuhanif186.blogspot.com/2010/01/sains-al-quran.html
PaidVerts

Kalam Dari Pondok Tua

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...