Kata JIWA

Showing posts with label Ramadhan Dan Puasa. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan Dan Puasa. Show all posts

Tuesday, July 24, 2012

Manfaat Berpuasa Ramadhan Dari Sudut Sains Kesihatan

Dalam banyak kajian yang telah dijalankan, menunjukkan berpuasa sebulan penuh di bulan Ramadhan memberikan banyak kebaikan dari sudut kesihatan antaranya :

1. Tidak makan dan minum selama berpuasa memberikan kesempatan kepada organ pencernaan untuk berehat di dalam tempoh lebih kurang 14 jam.

2. Menurut Allan Scott dalam bukunya Fasting as a Way of Life) dengan berpuasa dapat membantu sistem saraf untuk berehat sekaligus menormalkan metabolisme tubuh.

3. Berpuasa membantu menurunkan kadar gula darah, kolestrol jahat serta  tekanan darah yang selama ini mungkin berlebihan kerana pola makan yang tidak sihat.

4. Diet yg ideal untuk menurunkan berat badan.

5. Latihan untuk mendisiplinkan diri seperti untuk berhenti merokok atau menghentikan tabiat suka mengunyah makanan ringan.

6. Melatih untuk mengendalikan hawa nafsu yang mana amat bermanfaat untuk mental seterusnya mempengaruhi fizikal secara keseluruhannya.

Disebutkan dalam sebuah hadis yang bermaksud, "Berpuasalah kamu agar kamu menjadi sihat." [HR Ibnu Sunni & Abu Nuaim daripada Abu Hurairah R.A]

Wallahua'lam.


Diolah dari : Rukun Islam Secara Logik / Imam Musbikin / ms.167-168


Monday, August 15, 2011

Mandi Junub Selepas Terbit Fajar

Mereka bertanya :

Apa hukum puasa orang yang berjunub mandi wajib selepas masuk waktu subuh?

To'Wan menjawab :

Ada orang Islam yang menyangka bahawa berjunub (berhadas besar) sampai masuk waktu subuh pada bulan Ramadhan, membatalkan puasa. Prasangka yang demikian adalah tidak beralasan.

Jika seorang yang berjunub tidak sempat mandi hadas melainkan selepas terbit fajar, maka hal ini tidaklah membatalkan puasa. Ini kerana yang membatalkan puasa ialah jika berlaku persetubuhan itu selepas terbit fajar. Adapun mandi hadas selepas terbit fajar, tidaklah memberi apa-apa kesan pada puasa.

Saidatina Aishah R.A dan Ummu Salamah pernah menceritakan bahawa, "Nabi S.A.W pernah bangun pagi dalam bulan Ramadhan dalam keadaan berjunub kerana bersetubuh dengan isterinya. Baginda mandi dan kemudian berpuasa tanpa mengqadakannya (menggantikannya)," (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Maka, bagi orang yang bersetubuh, harus melewatkan mandinya hadas sehingga terbit fajar. Namun demikian, menyegerakan mandi adalah disunatkan.

Wallahua'lam.

Tambahan :
Meskipun puasa dikira sah, orang yang mandi hadas selepas habisnya waktu subuh tanpa uzur syari'e tetap dikira berdosa kerana meninggalkan kewajiban solat dengan sengaja.

Rujukan :
1. Puasa Rasulullah S.A.W - Ustaz Ahmad Adnan Fadhil - Assiyasah Enterprise
2. Terjemahan Hadis Shahih Muslim - Klang Book Store
3. Fiqh Islam - H. Sulaiman Rasjid - Penerbit Attahiriyah
4. Hadith Encyclopedia 

Sunday, August 14, 2011

Puasa Itu Untuk Allah

Daripada Abi Hurairah R.A katanya : Rasulullah S.A.W telah bersabda : "Allah 'Azza Wa Jalla telah berfirman : Setiap amal anak Adam adalah untuknya kecuali puasa; puasa itu adalah untukku dan Aku yang akan membalasnya (memberi pahala)" (Hadis riwayat Muslim).

Pendapat-pendapat ulama' pada ucapan kecuali puasa; puasa itu adalah untukku :

1. Berkata Al-Mazari : Setiap amal kebajikan yang ikhlas adalah untuk Allah Taala. Adapun dikhususkan dengan puasa kerana ianya adalah amalan batin yang tidak mungkin padanya riya'.

2. Berkata Al-Khitobi : Makna yang demikian adalah bahawa sesunggguhnya tiada bagi orang yang berpuasa garisan.

3. Berkata Abu 'Abid : Pahalanya di sisi Allah kerana sesungguhnya ia bukanlah daripada amal zahir dan dicatatkan berdasarkan penjagaan. Dan ia (puasa) adalah hanya niat dan menahan diri.

4. Dikatakan juga : Hanya Allah Taala mengetahui kadar pahalanya.

Keterangan :

Sesungguhnya meletakkan riya' kepada orang beriman pada amalnya adalah terlau jauh; kerana riya' itu meniatkan sesuatu bukan kerana Allah Taala dan ianya menafikan iman. Dan ayat-ayat Al-Quran  menyebut tentang riya'  diturunkan kepada orang kafir dan munafik. Adapun apabila meniatkan seseorang mukmin bahawa manusia melihat amalnya sebagai dorongan untuk mereka yang lain, tidaklah dicela dan merosakkan amal.

Disebabkan itu, adalah bagi orang yang berpuasa itu garisan (ketetapan) seperti amal yang lain kerana pada terdapat faedah-faedah seperti firman Allah dalam sambungan hadis ini : "Sesungguhnya ia (puasa) adalah perisai". Jadi harus apa yang diniatkan oleh seseorang pada amalnya itu dizahirkannya pada orang di hadapannya bertujuan agar mereka mengetahui niatnya itu  seperti : puasa adalah perisai diri.

Pada pendapat yang mengatakan pahala itu adalah di sisi Allah bermaksud, para malaikat sekalipun ditugaskan oleh Allah untuk mencatitkan amal manusia, mereka sebenarnya tidak mengetahui kadar sebenar pahala puasa juga amalan yang lain sekalipun disebutkan bahawa bagi setiap kebajikan itu adalah 10 pahala kebajikan sehingga 700 kali ganda. Maka yang mengetahuinya hanyalah Allah Subhanahu Wa Taala. Sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya dibalas orang-orang yang bersabar itu dengan ganjaran yang tiada terkira".

Kesimpulannya, hanya Allah Taala mengetahui pahala bagi setiap amalan termasuk puasa berdasarkan niat setiap hambaNya yag beribadat.

Wallahua'lam.

Rujukan :

1. Al-Muntakhibul Mukhtar Min Ahadis Al-Imam Muslim Bin Al-Hajjaj Min Abwabiz Zakah Was Siyam Wal Haj - Asatizatul Hadis Wa 'Ulumihi Bi Jami'ah Al-Azhar
2. Terjemahan Hadis Shahih Muslim - Klang Book Store
3. Hadith Encyclopedia

Wednesday, August 10, 2011

Makan Dan Bersetubuh Ketika Waktu Imsak

Mereka bertanya :

Bolehkah makan sahur ketika waktu imsak?

To'Wan menjawab :

Waktu imsak merupakan satu tempoh di mana sebelum masuknya waktu solat subuh bagi orang yang ingin berpuasa. Dan waktunya ialah ketika mana telah kelihatan cahaya putih (fajar kazib).

Berkenaan dengan makan dalam tempoh ini, tidaklah dilarang bahkan dibolehkan. Ini bersandarkan kepada sebuah hadis Nabi S.A.W yang bermaksud :

Dari Samurah bin Jundub R.A, dia berkhutbah menyampaikan hadis yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W : "Janganlah kamu terhalang (makan sahur) oleh azan Bilal (memanggil pulang orang yang solat dan membangunkan orang yang tidur), dan jangan pula oleh cahaya putih ini (fajar kazib) sehingga terbit fajar (siddiq)," (Hadis riwayat Muslim).

Walau bagaimanapun, ketika makanan masih di dalam mulut dan muazzin (bilal) telah melaungkan azan masuk waktu Subuh, maka hendaklah diluahkan jika belum sampai ke kerongkong. Dan jika tidak diluah, maka batallah puasanya itu.

Begitu juga, jika fajar sedang terbit dia masih dalam keadaan bersetubuh dengan isterinya, maka wajib dia mencabut zakarnya dengan segera. Dengan mencabutnya itu tidaklah membatalkan puasa sekalipun sesudah itu diikuti dengan keluar mani.

Namun jika tidak dicabut (tidak menghentikan persetubuhannya dengan segera), maka batallah puasanya. Bukan sekadar itu, bahkan wajib atasnya membayar kifarat (puasa dua bulan berturut-turut) kerana batal puasa itu berlaku dengan persetubuhan yang disengajakan.

Wallahua'lam.

Rujukan :
1. Puasa Rasulullah S.A.W - Ustaz Ahmad Adnan Fadhil - Assiyasah Enterprise
2. Terjemahan Hadis Shahih Muslim - Klang Book Store
3. Fiqh Islam - H. Sulaiman Rasjid - Penerbit Attahiriyah

Thursday, August 4, 2011

Rahsia 29 dan 30 Hari Pada Bulan Ramadhan

Daripada Abi Bakrah R.A - Daripada Nabi S.A.W telah bersabda :

"Dua bulan raya yang tidak akan berkurang : Ramadhan dan Zulhijjah" [Hadis riwayat Muslim].

Pandangan-pandangan ulama' pada sabda Nabi S.A.W 'tidak akan berkurang' :

Pandangan pertama : Tidak akan berkurang kedua-duanya (Ramadhan dan Zulhijjah) daripada 30 hari berdasarkan zahir (umum) hadis.

Pandangan kedua : Pahala dan kelebihannya tidak akan berkurangan samada bulan Ramadhan dan Zulhijjah itu mempunyai 29 atau 30 hari.

Pandangan ketiga : Jika salah satu bulan adalah 29 hari, maka bulan yang lain pula adalah 30 hari.

Keterangan :

Pandangan pertama tertolak bersandarkan kepada hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud : "Berpuasalah dengan melihat anak bulan (Ramadhan) dan berbukalah dengan melihat anak bulan (Syawal), maka jika ada yang menghalangi (tidak kelihatan anak bulan), hendaklah dicukupkan bulan Sya'ban itu 30 hari". Jika bulan Ramadhan itu selama-lamanya 30 hari, tidaklah perlu kepada melihat kepada anak bulan.

Pandangan kedua pula adalah diterima. Telah berkata Az-Zain Bin Al-Munir : "Sedekat-dekat pandangan ialah bahawa yang kurang itu hanya pada bilangan harinya kerana kedua-duanya adalah bulan yang mulia, maka tidak seharusnya disifatkan kedua-duanya dengan kekurangan disebabkan kurangnya bilangan hari".

Pandangan ketiga pula adalah berdasarkan kaedah ilmu falak. Di dalam pengiraan kalendar Islam, setahun adalah berjumlah 265 hari; tidak berkurangan juga tidak melebihi bilangan harinya. Jadi pada bulan Ramadhan dan Zulhijjah, salah satu bulan akan mempunyai 29 hari dan bulan yang lain akan mempunyai 30 hari. Maka pandangan ini juga adalah diterima.

Faedah daripada hadis :

1. Sesungguhnya bagi Allah itu kelebihan bagi menggantikan kekurangan dengan kesempurnaan pada pahala sekalipun pahala itu pada asalnya ditentukan dengan tahap kesulitan dalam melaksanakannya.

2. Salah satu tanda kenabian Nabi S.A.W apabila baginda membicarakan tentang ilmu falak berdasarkan pergerakan bulan dan matahari.

3. Nasihat supaya kita bersungguh-sungguh menjaga pada melihat anak bulan, bagi mengelakkan kesilapan di dalam rukyah dan menyempurnakan dua bulan raya ini.

Wallahua'lam.

Rujukan :
1. Al-Muntakhibul Mukhtar Min Ahadis Al-Imam Muslim Bin Al-Hajjaj Min Abwabiz Zakah Was Siyam Wal Haj - Asatizatul Hadis Wa 'Ulumihi Bi Jami'ah Al-Azhar
2. Terjemahan Hadis Shahih Muslim - Klang Book Store
3. Fiqh Islam - H. Sulaiman Rasjid - Penerbit Attahiriyah

Tuesday, August 2, 2011

Darjat-Darjat Puasa

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :

"Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan pendustaan, maka bagi Allah tidak ada keperluan dalam dia meninggalkan makan dan minumnya (tidak berhajat pada puasanya)".

(Riwayat Imam Bukhari, Abu Daud dan lain-lain daripada Abu Hurairah R.A)

Puasa itu bukan sekadar puasa zahir (mencegah dari makan dan minum) akan tetapi juga puasa batin (mencegah dari dosa dan maksiat). Imam Al-Ghazali Rahimahullah telah membahagikan darjat puasa manusia kepada 3 bahagian :

1. Puasa Umum : iaitu berpuasa dengan menahan perut dan kemaluan daripada menikmati keinginannya seperti makan, minum dan sebagainya.

2. Puasa Khusus : iaitu berpuasa yang disertakan dengan menjaga pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota daripada melakukan yang haram dan dosa.

3. Puasa Khususul Khusus : iaitu berpuasa dengan menyertakan semua yang tersebut di atas dengan menambah lagi dengan berpuasa hati dari segala cita-cita yang kotor dan pemikiran-pemikiran keduniaan dan memesongkan perhatian daripada Allah.

Sunday, July 31, 2011

Info Puasa

Beberapa info berkenaan puas :

1. Puasa telah diwajibkan pada tahun kedua hijrah.

2. Nabi Muhammad S.A.W sempat berpuasa sebanyak 9 kali Ramadhan yang mana 8 kali sebanyak 29 hari dan sekali sebanyak 30 hari.

3. Ibadat puasa telah disyariatkan semenjak zaman nabi-nabi terdahulu. Unat Nabi Adam A.S misalnya, ketika itu mereka berpuasa selama sebulan tanpa berbuka. Di zaman Nabi Daud A.S pula, baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari. Dan setelah Nabi S.A.W dilantik menjadi rasul, barulah disyariatkan berpuasa itu hanya pada bulan Ramadhan.
Published with Blogger-droid v1.7.2

Melihat Anak Bulan

Apabila telah melihat anak bulan di sesebuah negeri, maka wajib bagi penduduknya untuk berpuasa atau berbuka (berhari raya). Cuma yang menjadi pertikaian apakah penduduk negeri lain juga wajib berpuasa sekalipun mereka tidak melihat anak bulan.

Beberapa pandangan ulama' berkenaan masalah ini :

Pendapat pertama : Tidak wajib berpuasa bagi penduduk di negeri yang tidak melihat anak bulan.

Pendapat kedua : Wajib puasa atas penduduk negeri yang tidak melihat apabila melihat anak bulan itu ditetapkan oleh imam (pemimpin) kerana imam mempunyai hak terhadap semua negeri yang diperintahnya.

Pendapat ketiga : Hanya wajib puasa atas penduduk negeri-negeri yang berdekatan negeri-negeri yang melihat.

Dalam ukuran jauh jarak pula, ditentukan dengan beberapa kriteria :
a. Tidak melebihi jarak qasar (boleh memendekkan solat fardhu).
b. Keadaan cuaca (panas dan sejuk) mesti sama dengan negeri yang melihat.
c. Masa terbit matahari mestilah sama.

Pendapat keempat : Wajib puasa atas penduduk negeri yang pada kebiasaannya melihat perkara yang sama (anak bulan) dengan negeri yang melihat itu apabila tiada sesuatu yang menghalanginya.

Pendapat kelima : Tidaklah wajib berpuasa apabila negeri itu berbeza pada ketinggiannya (dari paras laut) dengan negeri yang melihat anak bulan itu.

Dan perbezaan pendapat-pendapat itu sebenarnya berdasarkan kepada hadis di bawah ini :

"Dari Kuraib R.A katanya : adalah Ummul Fadhal Bint Haris mengutuskannya untuk menemui Mu'awiyah di Syam. Kata Kuraib : "Setelah aku tiba di sana dan tugasku telah selesai, bulan Ramadhan pun tiba. Aku melihat anak bulan terbit pada malam Jumaat. Kemudian aku kembali ke Madinah pada akhir bulan. Lalu Abdullah Bin Abbas bertanya kepadaku : "Bila kamu melihat anak bulan?" Jawabku : "Kami melihatnya pada malam Jumaat.". "Apakah kamu menyaksikannya sendiri?". "Ya, aku menyaksikannya sendiri, bersama orang ramai. Kerana itu mereka mula berpuasa termasuk Mu'awiyah,". Kata Ibnu Abbas : "Tetapi kami melihatnya pada malam Sabtu. Kerana itu kami mencukupkan puasa kami 30 hari atau kami melihat bulan,". Tanyaku : "Apakah tidak cukup dengan penglihatan Mu'awiyah dan mengikut puasanya sahaja?". Jawab Ibnu Abbas : "Tidak! Kerana begitulah perintah Rasulullah S.A.W kepada kami,".

[Hadis riwayat Muslim dan jamaah kecuali Bukhari dan Ibnu Majah]

Ulasan Penulis :

Bagi situasi di Malaysia kini, penulis lebih cenderung untuk menerima pakai pendapat yang kedua iaitu berpuasa dengan ketetapan pemerintah. Ini kerana tugas melihat anak bulan kini dijalankan oleh mereka yang telah dipertanggungjawabkan dan kita sebagai penduduk wajib mengikut apa yang telah ditetapkan oleh pemerintah. Berkenaan hal jika berlaku ketidakamanahan pada melihat anak bulan itu , kita sebagai penduduk tidaklah dikira berdosa melainkan jika kita sendiri melihat anak bulan itu.

Wallahu'alam.

Rujukan :
1. Fiqh Islam - H. Sulaiman Rasjid - Penerbit Attahiriyah
2. Terjemahan Hadis Shahih Muslim - Klang Book Store
PaidVerts

Kalam Dari Pondok Tua

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...