Kata JIWA

Tuesday, October 23, 2012

Hukum Menyimen Kubur

Mereka Bertanya :


Salam.. Saya ingin bertanyakan berkenaan hadis tentang hukum menghiasi kubur, menyempurnakannya atau dalam bahasa mudahnya kubur disimen? Saya dalam kebingungan bagi memahamkan ibu saya berkaitan ini kerana dia mahu kami sempurnakan kubur arwah abah.

To'Wan Menjawab :

Wa'alaikumussalam..

Saya datangkan artikel ini bagi menjawab permasalahan kepada yang bertanya :

Terdapat khilaf di kalangan ulamak tentang hukum membuat binaan di atas kubur di antara haram dan makruh;

1) Pandangan pertama; ia haram secara mutlaknya. Antara ulamak yang berpandangan sebegini ialah Imam al-Hafidz al-‘Iraqi, asy-Syaukani dan as-Shon’ani. Mereka berpegang dengan makna zahir dari arahan Nabi supaya meratakan kubur dan larangan baginda dari membuat binaan di atas kubur.

Diriwayatkan dari Abi Sa’id Al-Khudri R.A yang menceritakan,“Sesungguhnya Nabi S.A.W menegah dari membuat binaan di atas kubur” (HR Ibnu Majah dengan sanad yang soheh).

Juga hadis, “Rasulullah menegah dari melapisi kubur dengan kapur putih, dari duduk di atasnya dan dari membuat binaan di atasnya” (HR Imam Muslim dari Jabir R.A).

2) Pandangan jumhur ulamak (termasuk mazhab-mazhab empat); membuat binaan di atas kubur adalah makruh. Mereka memahami larangan Nabi dalam hadis di atas sebagai larangan makruh, bukan larangan haram. Kecualilah jika tanah perkuburan tersebut adalah tanah wakaf awam (yakni bukan milik persendirian), maka haramlah membuat binaan di atas kubur kerana akan menghalang orang lain dari menggunakannya di kemudian hari sedangkan tanah perkuburan itu adalah milik bersama. Begitu juga, haram membuat binaan jika dengan tujuan berbangga-bangga dan menghias-hias kubur. Hukum haram ini telah disepakati oleh ulamak. Jadi, hukum makruh yang dimaksudkan oleh jumhur itu ialah apabila binaan dibuat hanya bertujuan memperkemaskan kubur atau memperelokkannya.

Bagi kubur milik persendirian, sebahagian ulamak (iaitu ulamak-ulamak mazhab Malik) mengharuskan membuat binaan sederhana di keliling kubur (bukan di atasnya) iaitu sekadar untuk membezakan satu kubur dari satu kubur yang lain. Adapun kubur wakaf tidak diharuskan sebarang binaan (sama ada di atasnya atau di sekelilingnya) atas alasan tadi.

Apa yang menjadi Sunnah Nabi S.A.W ialah kubur tidak ditinggikan melainkan sekadar satu hasta sahaja iaitu untuk dikenali bahawa itu adalah kubur supaya dijaga kehormatannya dari dipijak, dibuang najis atau sebagainya.

Dalam kitab Soheh Imam al-Bukhari, terdapat riwayat dari Sufyan at-Tammar yang menceritakan, “Dia melihat kubur Nabi S.A.W tingginya hanya sekadar tinggi bonggol unta sahaja” (Soheh al-Bukhari, Kitab al-Janaiz, bab Ma Ja-a Fi Qabr an-Nabiy wa Abi Bakr wa ‘Umar).

Ketika Rasulullah S.A.W mengkebumikan jenazah seorang sahabat bernama Usman bin Madz’un R.A, baginda hanya meletakkan tanda di kuburnya dengan seketul batu sahaja di bahagian kepalanya dan baginda bersabda, “Supaya aku mengenali dengan tanda batu ini kubur saudaraku dan agar aku dapat mengkebumikan di tepinya sesiapa yang mati dari ahli keluargaku” (Sunan Abi Daud, kitab al-Janaiz, bab Fi Jam’ie al-Mauta Fi al-Qabr wa al-Qabr yu’allam).

Berkata Imam As-Syafi'e Rahimahullah; "Bagi aku makruh meninggikan kubur melainkan sekadar untuk diketahui bahawa itu adalah kubur yakni supaya ia tidak dilangkahi dan tidak diduduki di atasnya."

Mengenai tulisan di kubur, pandangan ulamak juga sebagaimana di atas iaitu ada ulamak yang mengharamkannya dan jumhur ulamak memakruhkannya. Menurut jumhur; larangan (yakni makruh) menulis sebarang tulisan atas kubur itu merangkumi semua tulisan termasuklah menulis nama si mati, ukiran-ukiran dan sebagainya.

Dalam kitab al-Majmu’, Imam Nawawi Rahimahullah menegaskan; "Menurut Imam as-Syafi’ie dan ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; ‘Dimakruhkan melapisi kubur dengan kapur putih, menulis di atas kubur nama penghuni kubur atau tulisan lainnya dan membuat binaan di atas kubur’. Hukum ini tidak ada khilaf di sisi kami (mazhab Syaf’ie).".

Namun demikian, ulamak-ulamak mazhab al-Hadawiyah mengecualikan larangan tersebut dari nama si mati (yakni menurut mereka; diharuskan menulis nama si mati di atas kubur). Mereka mengkiaskannya dengan tindakan Nabi meletakkan batu tanda di atas kubur sahabat bernama Usman bin Madzun tadi untuk mengenali kuburnya.

Pandangan ini ditarjih oleh Dr. Sa’aduddin Hilali (Pensyarah di Universiti al-Azhar) dalam bukunya “Ahkam Dafn al-Mauta wa Ahkam Quburihim” di mana beliau menegaskan; “Pandangan yang terpilih ialah pandangan jumhur ulamak –iaitu makruh membuat tulisan di kubur- kerana kekuatan hujah mereka dan dikecuali dari hukum makruh itu tulisan nama khususnya bagi kubur-kubur milik persendirian supaya tidak ada sesiapa mencerobohnya” .

Adapun menulis ayat-ayat al-Quran di kubur, ulamak-ulamak mazhab Malik menegaskan; selayaknya perbuatan tersebut diharamkan kerana ia membawa kepada merendah-rendahkan al-Quran lama kelamaan dan terjatuh ayat-ayat al-Quran ke tempat berpijak kaki manusia.

Wallahua'lam.

Artikel asal : SINI

**Nota Kaki : Mazhab Al-Hadawiyah juga dikenali sebagai Syiah Zaidiyyah dengan pengikut terbesarnya berada di negara Yaman. Mazhab ini merupakan mazhab syiah yang paling hampir kepada Ahlul Sunnah Wal Jama'ah.

No comments:

Post a Comment

PaidVerts

Kalam Dari Pondok Tua

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...