Kata JIWA

Wednesday, October 3, 2012

Hukum Anak Dilahirkan Dalam Tempoh 6 Bulan

Mereka Bertanya :

Seorang wanita baru sahaja berkahwin. Dalam tempoh 6 bulan dia selamat melahirkan seorang anak. Persoalannya, apakah wajib semula akad nikah? Bagaimana hukum anak yang dilahirkan? Bolehkah dinasabkan kepada si suami?

To'Wan Menjawab :

Firman Allah Ta'ala dalam surah al-ahkhaf ayat 15 yang bermkasud :

"(Ibu) mengandung dan menyusunya dalam tempoh masa tiga puluh bulan,".

Ayat ini menjadi dalil kepada Ibnu Abbas R.A dan para ulama' yang mengikutinya bahawa sekurang-kurangnya masa mengandung itu ialah enam bulan. Ini berdasarkan kepada ayat lain yang bermaksud :

"Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan kesulitan yang amat sangat dan menyusunya dalam tempoh dua tahun," (Luqman:14).

Mafhumnya ialah kalau seseorang itu menyusui anaknya sehingga berumur dua tahun bermakna dia telah telah menyusukan anaknya selama 24 bulan. Maka tempoh 30 bulan bagi mengandung dan menyusu dalam ayat pertama apabila ditolak dengan tempoh 24 bulan penyusuan dalam ayat kedua, memberi maksud sekurang-kurang tempoh mengandung itu ialah 6 bulan. Dan inilah pendapat yang dipegang oleh kebanyakan ulama' terutamanya dari mazhab syafie'.

Mengapa pula tempoh masa mengandung dimasukkan dalam kitab feqah?

Perkara ini dijadikan hukum antaranya ialah untuk menyelesaikan masalah dakwaan anak. Umpamanya seorang lelaki atau suami mendakwa bahawa anak dalam kandungan isterinya itu bukan anaknya, maka penyelesaiannya ialah dengan mengira tempoh masa pernikahan sehingga tempoh dia mengandung dan melahirkan anak.

(Tafsir Surah Luqman, Hj Abdul Hadi Awang, m/s45)

Berbalik kepada soalan, jika seorang perempuan itu mengandung anak luar nikah lalu berkahwin sebelum melahirkan anak, maka hukum perkahwinan itu sah tanpa perlu diadakan akad baru mengikut satu pandangan daripada mazhab syafie sedang para ulama' yang lain mengharamkan penikahan sehiggalah perempuan itu melahirkan anak dan bersuci dengan 3 kali suci.

Dan dari segi menasabkan anak kepada ayah atau suami, para ulama' termasuk syafie hampir keselurahannya mengatakan haram untuk menasabkan (mem'bin'kan) anak luar nikah kepada ayah atau suami sekalipun telah dilakukan akad pernikahan tanpa mengira tempoh berkahwin sehingga melahirkan anak.

Berkata Dr. Wahbah Az-Zuhaili Hafizahullah,

“Dan nasab anak itu sabit bagi ibunya dalam semua keadaan sama ada dilahirkan secara syar’i atau tidak syar’i, adapun nasab anak kepada bapa, tidak tersabit kecuali dengan jalan perkahwinan yang sahih atau fasid, persetubuhan syubhat atau iqrar dan Islam telah membatalkan amalan jahiliyyah yang menasabakan anak (kepada bapa) melalui zina”.

(Al-Fiqahul Islami Wa Adillatuh, 10/3)

Ini bersandarkan kepada sebuah hadis dari Abu Hurairah R.A : Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Anak itu untuk hamparan (isteri) dan bagi penzina adalah batu (tidak mendapat hal nasab)” (HR Bukhari & Muslim).

Namun terdapat pandangan segelintir ulama' yang mengatakan anak zina dinasabkan kepada bapanya secara syar’i dan berlaku segala hukum seperti anak yang sah taraf juga. Ini adalah pendapat Al-Hasan Al-Basri, Sulaiman Bin Yasar, Ishaq Bin Rahuwaih, Urwah Bin Zubair, Ibnu Taimiyyah sebagaimana disebut dalam Ikhtiyarat Ilmiyyah, dan salah satu pandangan Ibnu Al-Qayyim Al-Jawziyyah.

Rujuk : SINI

Namun demikian, penulis lebih cenderung untuk menggunakan pandangan ulama' yang mengatakan bahawa anak hasil zina haram dinasabkan kepada suami atau ayah walau telah dilakukan akad pernikahan.

Wallahua'lam.


Rujukan :

1. Al-Quranul Karim.
2. Tafsir Surah Luqman / Abdul Hadi Awang / Pustaka At-Tibyan.
3. Maktabah Syamilah
4. Kertas Kerja Untuk Pertimbangan Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis : ‘Nasab Anak Zina’
5. Laman Web : http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/09/nasab-anak-luar-nikah.html

No comments:

Post a Comment

PaidVerts

Kalam Dari Pondok Tua

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...