Kata JIWA

Wednesday, December 28, 2011

Alam Jin Dan Syaitan (Bahagian 2)

Kejadian Jin

Sesungguhnya jin itu diciptakan daripada api manakala manusia daripada tanah sedang malaikat pula daripada cahaya. Allah 'Azza Wa Jalla telah menerangkan yang demikian di dalam begitu banyak firman-Nya di dalam Al-Quran antaranya:

Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Dia (Allah) menciptakan manusia dari tanah kering seperti tembikar. Dan Dia menciptakan jin dari nyalaan api," (Ar-Rahman:14-15).

Firman-Nya yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu (Adam), lalu Kami bentuk tubuhmu, kemudian Kami katakan kepada para malaikat, "Bersujudlah kamu kepada Adam", maka merekapun bersujud kecuali iblis. Dia (iblis) tidak termasuk mereka yang bersujud. Allah berfirman, "Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?" Menjawab iblis, "Aku lebih baik daripadanya. Engkau ciptakan aku dari api sedang dia (Adam) Engkau ciptakan dari tanah," (Al-A'raaf:11-12).

Di dalam sebuah hadis daripada Saidatina Aishah R.A bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud:

"Diciptakan malaikat daripada cahaya, dan diciptakan jin daripada nyalaan api dan diciptakan Adam pula daripada apa yang diceritakan kepada kalian (tanah)," (HR Muslim).

Bermula Penciptaan Jin

Berkata Dr. Ibrahim Bin Ibrahim Al-Quraibi, "Tiada keraguan bahawa dijadikan jin terdahulu daripada penciptaan manusia. Yang demikian itu sebagaimana firman Allah Taala, "Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk. Dan Kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas." (Al-Hijr:26-27).

Maka ayat di atas menjadi dalil bahawa sesungguhnya jin merupakan makhluk sebelum manusia. Dan berpandangan sebahagian mereka yang terdahulu (ulama') bahawasanya mereka (jin) diciptakan 2000 tahun sebelum manusia (Tiada dalil daripada kitab juga sunnah).

(Al-Lubab fi Syarhil Aqidah 'ala Dhuis Sunah Wal Kitab - ms.705)

Sifat Kejadian Jin

Berkata Dr. Umar Al-Asyqar, "Kita tidak mengetahui bagaimana penciptaan mereka (jin), bentuk mereka dan pancaindera mereka melainkan apa yang telah diberitahu oleh Allah kepada kita. Dan kita mengetahui bagi mereka itu hati sebagaimana firman Allah Taala:

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai, " (Al-A'raaf:179).

Allah Taala menegaskan bahawasanya bagi jin itu hati, mata serta telinga dan bagi syaitan suara sebagaimana firman-Nya, "Dan hasutlah siapa yang kamu sanggupi di antara mereka dengan ajakanmu, dan kerahkanlah terhadap mereka pasukan berkuda dan pasukanmu yang berjalan kaki dan berkongsilah dengan mereka pada harta dan anak-anak dan janji mereka. Dan tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan kepada mereka melainkan tipu daya semata," (Al-Isra':64). Dan telah sabit juga di dalam banyak hadis bahawa bagi syaitan itu lidah.".

('Alamul Jin Was Syayathin - ms. 11)

Asal Syaitan Dan Iblis

Di sisi kita dalil yang jelas yang menunjukkan bahawa syaitan asalnya daripada jin atau sebahagian daripadanya sebagaimana firman Allah Taala:

"Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia adalah dari golongan jin, maka dia menderhakai perintah Tuhannya. Patutkah kamu mengambil dia dan keturunannya sebagai pemimpin selain daripada-Ku, sedang mereka adalah musuhmu? Amat buruklah iblis itu sebagai pengganti (dari Allah) bagi orang-orang yang zalim," (Al-Kahfi:50).

Dan Ibnu Taimiyyah Rahimahullah mengatakan, "Bahawasanya syaitan itu berasal daripada jin sebagaimana Adam berasal daripada manusia,".

('Alamul Jin Was Syayathin - ms.23)

Adapun iblis bukan daripada malaikat seperti dakwaan sebahagian orang akan tetapi ia merupakan dari kalangan jin sebagaimana telah sabit di dalam Al-Quran. Maka telah menjawab Syeikh Ibnu 'Usaimin ketika disoal dengan soalan ini dengan katanya, "Iblis bukan daripada malaikat kerana ia (iblis) dijadikan daripada api sedang malaikat dijadikan daripada cahaya. Dan tabiat iblis pula berlawanan dengan tabiat malaikat sebagaimana yang digambarkan oleh Allah S.W.T dalam firman-Nya:

"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan," (At-Tahrim:6).

Dan Allah menggambarkan juga perihal mereka (malaikat) sebagaimana firman-Nya:

"Dan kepunyaan-Nyalah segala yang di langit dan di bumi. Dan malaikat-malaikat yang di sisi-Nya, mereka tiada mempunyai rasa angkuh untuk menyembah-Nya dan tiada (pula) merasa letih," (Al-Anbiya':19).

Manakala syaitan pula berlawanan sifatnya dengan malaikat kerana ia merupakan makhluk yang angkuh sebagaimana firman Allah:

"Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam! Maka sujudlah mereka kecuali iblis; ia enggan dan takabur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir," (Al-Baqarah:34).

Dan suruhan kepada malaikat untuk sujud kepada Adam dan ketika itu iblis bersama malaikat; berkongsi pada ibadat (kepada Allah) bukannya bermaksud ia dari kalangan mereka,".

(Fatawal Aqidah - ms.165)

Wallahua'lam.

Rujukan:
1. Al-Quranul Karim
2. Al-Lubab fi Syarhil Aqidah 'ala Dhuis Sunah Wal Kitab / Dr. Ibrahim Bin Ibrahim Al-Quraibi / Sana'a / Cetakan Ketiga 2008M-1429H
3. 'Alamul Jin Was Syayathin / Dr. Umar Sulaiman Abdullah Al-Asyqar / Darun Nafaais, Jordan / Cetakan 2008M-1429H
4. Fatawal Aqidah / Syeikh Muhammad Bin Soleh Ibnu 'Usaimin / Maktabah Al-'Isriah, Saida-Beirut / Cetakan Pertama 2008M-1429H
5. Maktabah Shamilah

No comments:

Post a Comment

PaidVerts

Kalam Dari Pondok Tua

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...