Kata JIWA

Sunday, December 4, 2011

Alam Jin Dan Syaitan (Bahagian 1)

Muqaddimah

Jin merupakan alam selain daripada alam manusia dan alam malaikat. Jin dan dan manusia berkongsi pada beberapa sifat akal dan pengetahuan. Dari sudut kemampuan pula, dibezakan pada jalan kebaikan dan kejahatan. Kedua-dua makhluk ini (jin dan manusia) juga turut berbeza pada asal kejadian. 

Pengertian Jin

1. Bahasa : Diambil daripada perkataan arab (janna) dan dinamakan jin disebabkan tertutupnya mereka dari pandangan mata (manusia) sebagaimana kata-kata Ibnu Aqil.

2. Istilah (Ilmu Aqidah) :

i- Jin merupakan ruh yang berakal serta mukallaf (dipertanggungjawabkan dengan syariat) seperti manusia. Akan tetapi jin berbeza asal kejadiannya dengan manusia, tertutup melihat mereka dari pandangan manusia dengan rupanya yang sebenar dan mereka berupaya untuk menjelma dengan bentuk yang pelbagai.

(Al-'Aqaaid Al-Islamiah - ms. 115)

ii- Jin merupakan ruh yang diciptakan daripada api yang berupaya untuk menjelma dengan bentuk yang pelbagai. Jin makan serta minum, terdiri daripada lelaki dan perempuan akan tetapi manusia terhalang melihat tabiat mereka. Akan tetapi manusia boleh melihat mereka jika menjelma dalam bentuk yang boleh dilihat seperti anjing dan seumpamanya.

(Al-Aqidah Al-Islamiah (1) - ms. 121)

Pengertian Syaitan Dan Iblis

Syaitan pada sudut bahasa bererti setiap unsur yang keji yang terdapat pada manusia, jin dan binatang.

(Al-Qamus Al-Muhith - ms. 1209)

Maka disebut makhluk yang ingkar terhadap Tuhannya dengan lafaz syaitan juga thoghut sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah An-Nisa' ayat 76 yang bermaksud:

"Orang-orang yang beriman itu berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir (pula) berperang di jalan thoghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah,".

Dan panggilan ini (syaitan) menjadi kebiasaan untuk merujuk kepada sikap yang buruk dan terkeji dalam diri manusia sebagaimana dinyatakan oleh Al-'Aqad dalam kitabnya yang berjudul Iblis. Dan panggilan thoghut pula bagi merujuk pada orang-orang melampaui batas dan mengingkari perintah Allah S.W.T.

Iblis pula sebenarnya sebahagian daripada syaitan dan dia makhluk yang jauh dari rahmat Allah Taala. Disebabkan itulah dia dinamakan dengan iblis yang bermaksud siapa yang tiada padanya kebaikan.

('Alamul Jin Was Syayathin - ms. 21) 

Nama-nama Jin Pada Bahasa Arab Dan Kumpulannya

Berkata Ibnu Abdul Bar di dalam kitab Aakaamil Marjan bahawa jin di sisi ahli bahasa terbahagi kepada beberapa kumpulan:

1. Jin: Nama yang umum untuknya.
2. 'Aamir: Jin yang tinggal bersama-sama manusia.
3. Ruh: Jin yang mengganggu kanak-kanak.
4. Syaitan: Jin yang menghasut dan melakukan kerosakan.
5. Marid : Jin yang lebih hebat daripada syaitan.
6.'Ifrit : Jin yang paling kuat dalam kumpulan jin.

('Alamul Jin Was Syayathin - ms. 12) 

Di dalam sebuah hadis daripada Abi Sa'labah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

"Jin itu ada tiga kumpulan: Kumpulan (jin) yang mempunyai sayap dan mereka berterbangan di udara, kumpulan (dalam rupa) ular dan anjing dan kumpulan yang menetap dan berpindah (tidak tetap tempatnya),"

(HR At-Thobrani, al-Hakim dan Al-Baihaqi dengan sanad yang sohih)

Rujukan:
1. Al-Quranul Karim
2. Al-'Aqaaid Al-Islamiah / As-Sayyid Sabiq / Darul Fath Lil I'lamil 'Arabi, Kaherah / Cetakan 2000M-1420H
3. Al-'Aqidah Al-Islamiah (1) / Dr. Ahmad Muhammad Ahmad Al-Jalli, Dr. Ali Bin Al-'Ajami Al-'Asyie dan Dr. Abdul Ghani Haidar Faari' / Darul Kitab Al-Jaami'e, Sana'a / Cetakan 2009M-1432H
4. 'Alamul Jin Was Syayathin / Dr. Umar Sulaiman Abdullah Al-Asyqar / Darun Nafaais, Jordan / Cetakan 2008M-1429H
5. Maktabah Shamilah


No comments:

Post a Comment

PaidVerts

Kalam Dari Pondok Tua

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...