Kata JIWA

Monday, November 21, 2011

Kisah Kedengkian Abrahah (Bahagian Akhir)

Abrahah Memasuki Kaabah

Selesai berdoa, Abdul Muthalib menyerahkan panel kunci Kaabah dan kemudian menuju ke pergunungan bersama beberapa orang pengikutnya. Di situ mereka bersembunyi dan menunggu untuk melihat apa yang akan dilakukan oleh Abrahah apabila dia dan bala tenteranya memasuki Makkah kelak.

Ketika Abrahah dan tenteranya bersiap sedia dari Mughammas untuk memasuki Mekah , gajah-gajah Abrahah enggan bangun dan berjalan untuk menuju ke Mekah. Tetapi jika dipalingkan ke arah lain gajah-gajah itu dengan segera bergerak. Begitulah keadaannya beberapa ketika sehingga dipukul pun gajah-gajah itu masih enggan menuju ke arah Mekah.

Dalam keadaan yang demikian itu, Allah S.W.T. kemudian mengutuskan burung burung yang datang dari arah laut seumpama burung layang-layang dengan setiapnya membawa tiga biji batu; dua biji batu di setiap kakinya dan sebiji lagi di paruhnya (saiz batu itu lebih besar dari kacang dal akan tetapi lebih kecil daripada kacang kuda) .

Apabila burung-burung itu terbang melintasi di atas kepala tentera-tentera Abrahah, burung-burung itu lalu menjatuhkan batu-batu yang dibawa ke atas tentera-tentera Abrahah. Dan tidak ada seorang pun yang selamat jika terkena batu itu melainkan dia akan mati. Lalu bertempiran larilah tentera-tentera Abrahah menyelamatkan diri.

Nufail bin Habib yang melihat akan peristiwa tersebut pun lari ke bukit seraya dia bersyair:

Ke manakah kalian akan lari jika Allah yang menuntut (mengejar dan membinasakan)…
Sedangkan Abrahah yang syram (sumbing hidung dan bibirnya) dialah yang kalah dan tidak menang…


Kematian Abrahah

Maka Abrahah pula telah ditimpakan oleh Allah ke atasnya dengan penyakit pada tubuhnya sehingga gugur satu-persatu jari-jemarinya. Dan setiap kali gugur jarinya akan disertai dengan nanah juga darah. Tatkala sampai ke Sana’a Abrahah sudah menjadi seumpama ‘anak ayam’, dan tidaklah dia mati melainkan sesudah dadanya pecah.

Dan diceritakan pula bahawa Mahmud (gajah Abrahah) disebabkan keengganannya untuk memasuki Makkah sesudah peristiwa itu telah menjadi seekor gajah yang jinak sedang 11 ekor gajah lainnya yang cuba dipaksa untuk memasuki Makkah turut dilontar dengan batu-batu oleh burung-burung yang diutuskan Allah Taala itu lalu mati.

(Tafsir Hadaiq Ar-Rauh Wal Raihan fi Rawabi ‘Ulumil Quran / Jilid 32 : m/s 342)

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah telah menahan tentera bergajah untuk memasuki Mekah, dan Allah menguasakannya kepada Rusulullah dan kaum mukmimin. Dan kini telah kembali kehormatan (haramnya) kota Mekah untuk mengadakan pertumpahan darah di dalam atau gangguan lain-lainnya sebagai keadaan kemarin sebelum penyerbuan kami. Ingatlah yang hadir supaya menyampaikan berita ini kepada yang tidak hadir,”

Pengajaran Daripada Kisah Ashabul Fil (Tentera Bergajah)

1. Menerangkan kesucian Kaabah : Kaum musyrikin sendiri memulia juga mensucikannya kerana ia adalah rumah Allah (masjid) pertama yang dibina di atas muka bumi ini oleh Nabi Adam juga sebagai pusat penyebaran agama samawi yang dibawa oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail ‘Alaihimussalam.

2. Kedengkian orang Nasrani (Kristian) terhadap Makkah dan orang Arab : Abrahah telah membina gereja yang diberi nama Al-Qulais untuk memalingkan orang ramai yang mengunjungi Kaabah di Makkah untuk ke Yaman disebabkan kedengkiannya terhadap Makkah dan penduduknya.

3. Pengorbanan di dalam memuliakan tempat yang suci : Ini dapat dilihat apabila bangkitnya ketua-ketua kabilah Arab seperti Nufail bin Habib dan selainnya untuk menentang Abrahah di sepanjang perjalanan Abrahah bersama bala tenteranya menuju ke Makkah untuk meruntuhkan Kaabah sehingga ramai yang terkorban dan dibunuh.

4. Pembalasan umat yang khianat : Mereka ini telah membantu Arbahah sebagai pengintip juga sebagai penunjuk jalan ke Kaabah untuk memusnahkannya. Mereka ini di dunia dilaknat oleh manusia dan di akhirat pula dilaknat oleh Allah S.W.T. sebagaimananya dilaknatnya Abu Rihgal sehingga kuburnya dilontar oleh orang ramai disebabkan dia khianat dan bersubahat dengan Abrahah.

5. Hakikat peperangan ini ialah di antara Allah dan musuh-musuhNya : Ini jelas ditunjukkan apabila Abdul Muthalib berkata kepada Abrahah, “Aku pemilik unta-unta itu, sedangkan Kaabah itu ada tuannya sendiri. Maka Dialah yang mempertahankannya,” dan juga doa Abdul Muthalib di pintu Kaabah, “Ya Allah, semua orang mempertahankan rumahnya, maka pertahankanlah rumahMu ini. Dan pada hari ini pertahankanlah ia daripada kaum salib dan penyembah salib itu bagi mereka yang menyembah hanya kepadaMu. Dan jangan sampai salib mereka dan kejahatan mereka itu dapat mengalahkan kekuasaanMu…”.

6. Manusia memuliakan Kaabah dan ahlinya : Peristiwa kegagalan Abrahah dan tenteranya untuk memusnahkan Kaabah telah menambahkan kemuliaan dan kebesaran manusia terhadap ‘Rumah Allah’ ini juga terhadap ahlinya terutama sekali terhadap kaum Quraisyh. Mereka berkata : “Sesungguhnya mereka ( orang Quraisyh ) adalah bersama Allah. Telah berperang untuk mereka akan Allah dan Dia mengalahkan untuk mereka akan musuh-musuh,”.

7. Kisah Ashabul Fil sebahagian daripada tanda kenabian : Sesungguhnya penduduk Makkah lemah untuk berperang dengan tentera Abrahah. Akan tetapi bila Allah menghendaki akan yang sebaliknya, Dia telah memusnahkan tentera bergajah sebagai bukti bahawa akan lahir di ‘Kota Mulia’ ini seorang nabi akhir zaman selepas peristiwa itu nanti.

Berkata Imam Ibnu Taimiyah, “Pada tahun itu dilahirkan Nabi S.A.W. dan penduduk rumah (Kaabah) ketika itu ialah orang-orang musyrikin yang menyembah berhala dan agama Nasrani lebih baik daripada mereka. Maka ketahuilah, sesungguhnya peristiwa ini (dibinasakan tentera bergajah) bukanlah kerana penduduk Makkah akan tetapi kerana Allah Taala memuliakan rumahNya (Kaabah) dan pada tahun ini juga merupakan tahun kelahiran Nabi S.A.W. sebagai sebagai daripada tanda kenabian,”.

8. Allah Taala memelihara rumahNya : Sesungguhnya Allah Taala lebih berkuasa daripada ahli kitab (Abrahah dan tenteranya) yang berniat untuk meruntuhkan Kaabah dan menawan kota Makkah dengan dimusnahkan mereka yang menjadi musuhNya. Dan hakikat daripada pemeliharaan ini ( tidak diruntuhkan Kaabah dan tidak ditawan kota Makkah ) ialah bahawa akan terpancar dari kota ini suatu hari nanti satu aqidah baru; aqidah yang bukan dicipta oleh manusia juga tidak bercampur dengan benda yang sesat lagi mungkar akan tetapi ianya adalah aqidah yang suci dari Maha Pencipta, melalui seorang utusanNya yang akan dilahirkan di kota suci ini iaitu Nabi Muhammad S.A.W.

9. Peristiwa ini menjadi sejarah untuk bangsa Arab : Orang-orang Arab telah membesarkan peristiwa yang berlaku terhadap tentera bergajah. Sehingga mereka berkata, “Berlaku yang demikian itu pada tahun gajah, dan dilahirkan fulan pada tahun gajah, dan berlaku peristiwa ini seperti yang demikian beberapa tahun dari tahun gajah,”.

(As-Sirah An-Nabawiyah / Dr Ali Muhammad As-Sollabi m/s 32-35)

Wallahu’alam.

Rujukan:
(1) As-Sirah An-Nabawiyah / Ibnu Hisham
(2) As-Sirah An-Nabawiyah / Dr Ali Muhammad As-Sollabi
(3) Tafsir Hadaiq Ar-Rauh Wal Raihan fi Rawabi 'Ulumil Quran / Syeikh Muhammad Al-Amin bin Abdullah Al-Urami Al-'Alawi Al-Harari As-Syafie
(4) Ar-Rohiq Al-Makhtum / Syeikh Sofi Ar-Rahman Al-Mabarakafuri


Sumber asal: http://abuhanif186.blogspot.com/2010/10/kisah-kedengkian-abrahah4.html

No comments:

Post a Comment

Kalam Dari Pondok Tua

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...