Kata JIWA

Wednesday, June 15, 2011

Kewujudan Politik Dalam Islam

Mereka Menyoal :

Apakah ada ajaran politik di dalam Al-Quran dan As-Sunnah?

To'Wan Menjawab :

Ya. Politik itu wujud di dalam Islam bermula dari Nabi Muhammad S.A.W dilantik sebagai utusan Allah S.W.T. Kenyataan ini bersandarkan kepada beberapa hujah :

Pertama : Kitab Al-Quran adalah kitab yang syumul. Firman Allah; " Kami turunkan kepadamu al-Quran sebagai penjelasan bagi segala perkara”. (Surah an-Nahl, ayat 89). Maksud syumul ialah lengkap, menyeluruh dan sempurna. Jika kita beriktiqad bahawa tidak ada politik di dalam al-Quran, maka kita telah menafikan kesyumulan Al-Quran dan iktiqad ini bertentangan dengan ayat tersebut.

Kedua : Jika kita membuka Al-Quran, kita akan berjumpa dengan ayat-ayat Allah yang mewajibkan kita melaksanakan Syari’at Allah sepenuhnya, menjauhi kezaliman, menegakkan keadilan, melaksanakan hukum-hukum Jenayah Islam (hudud), membenteras riba, judi, arak dan maksiat, mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran di mana semua tuntutan ini tidak akan dapat dilaksanakan tanpa kuasa politik atau pemerintahan.

Ketiga : Berpolitik adalah sunnah Nabi Muhammad S.A.W. Baginda telah menjadi Ketua Negara selama 11 tahun di Madinah. Sepanjang 11 tahun tersebut, baginda tidak memerintah rakyatnya melainkan dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Selepas kewafatannya, kepimpinan baginda diganti pula oleh Khulafa' Ar-Rasyidin. Mereka mengganti baginda sebagai Ketua Negara, bukan sebagai Ketua Agama. Jika politik bukan dari agama, sudah tentu Nabi Muhammad S.A.W dan Khulafa' Ar-Rasyidin tidak akan melibatkan diri dengan politik, sebaliknya menumpukan hal-hal agama dan kerohanian sahaja.

Wallahu'lam.

Rujuk : http://ilmudanulamak.blogspot.com/2009/05/politik.html

1 comment:

  1. politik ada dalam Islam kerana Islam itu agama sempurna..Yusof Al-Qardhawi ada menulis buku tentang politik dan Islam

    ReplyDelete

PaidVerts

Kalam Dari Pondok Tua

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...