Kata JIWA

Saturday, May 7, 2011

Peranan Baitulmal Dalam Pembangunan Ummah Masa Kini

Mereka Menyoal :

Bolehkah perikan pendapat tentang peranan baitulmal dalam pembangunan ummah masa kini?

To'Wan Menjawab :

Baitulmal merupakan sebuah institusi perbendaharaan dan kewangan yang tertinggi dalam negara yang mengamalkan undang-undang Islam. Ia berperanan menguruskan segala jenis bentuk harta daripada zakat, jizyah, kharaj, harta wakaf, harta rampasan perang, perlombongan, harta karun dan lebihan pusaka yang tidak berwaris. Pendapatan itu termasuk sumber yang diputuskan pemerintah melalui ijtihad dan maslahah atau kebaikan umat Islam.

Firman Allah Taala dalam surah At-Taubah ayat 30 :

"Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para muallaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana".

Antara peranan terbesar baitulmal ialah :

1. Pemberian zakat untuk mereka yang layak menerima sebagaimana maksud ayat Al-Quran di atas.

Golongan fakir miskin antaranya, adalah golongan yang wajib dibantu dengan menggunakan harta yang dikumpulkan oleh baitulmal sendiri. Sejarah Islam sendiri telah mencatatkan betapa wang atau harta ini mampu mengurangkan serta membasmi kemisikinan penduduk sesebuah negara.

Contohnya : Di zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz bagaimana melimpahnya perbendaharaan kewangan baitulmal ketika itu dari tahun ke setahun dek kerana tiada lagi orang miskin yang layak menerima zakat. Mereka yang miskin sudah menjadi kaya, lalu mengeluarkan zakat pula.

2. Menguruskan segala jenis bentuk harta daripada zakat, cukai, harta pusaka dan seumpamanya.

Konsep Baitulmal pada masa kini agak berbeza daripada apa yang diamalkan pada zaman awal Islam, malah segelintir masyarakat menganggap bahawa peranan dan kemampuan institusi ini kian tersasar dari semasa ke semasa. Fungsinya di lihat agak kecil dan terhad dengan wujudnya pelbagai agensi atau badan lain yang juga diiktiraf sebagai institusi kewangan Islam bukan perbankan. Beberapa cabaran dan halangan dari segi perundangan serta tenaga kerja dan kepakaran juga memungkinkan institusi ini kian tersisih.

3. Menjana kekuatan dan keseimbangan ekonomi umat Islam.

Baitulmal berperanan penting dalam membantu asnaf al-gharimin (golongan berhutang). Ini kerana sebahagian mereka ialah usahawan yang meminjam bagi memacu ekonomi umat Islam. Dana khas yang ditetapkan Allah ke atas mereka ini ialah sebagai pemangkin ekonomi umat Islam yang mampu bersaing dengan pihak lain.

Justeru, mereka perlu dibantu bagi memartabatkan ekonomi Islam dengan melaksanakan kelangsungan modal mereka dalam perniagaan. Pengagihan zakat kepada asnaf ini juga dapat menjana kembali modal diberikan kepada mereka untuk dibayar semula kepada baitulmal apabila cukup haul bagi membantu pihak lain yang memerlukan.

4. Dana Baitulmal boleh dinikmati semua peringkat termasuk bukan Islam.

Agihan dalam aspek kepentingan ummah terutama dalam bentuk pengisian modal insan melalui program-program dan seumpamanya. Juga dalam bentuk pembinanan infrastruktur seperti pembinaan tali air, jalan raya, jambatan, bangunan awam, bandar baru yang boleh dimanfaatkan semua pihak sama ada orang Islam atau bukan Islam.

Secara prinsipnya, zakat diambil daripada harta orang Islam yang berkemampuan dan diagihkan kepada golongan fakir yang memerlukan. Namun, ulama sepakat dalam mengharuskan pemberian kepada bukan Islam dalam bentuk sedekah sunat untuk perkara yang tidak bercanggah dengan kepentingan Islam.

Ini sebahagian peranan baitulmal dalam pembangunan ummah masa kini yang boleh penulis sebut dan nyatakan. Untuk maklumat yang lebih jelas fungsi sebenar baitulmal di dalam Islam, penanya boleh mencari buku-buku rujukan tambahan mengenai peranan dan fungsi baitulmal pada zaman Nabi S.A.W serta pada zaman Khilafah Islamiyyah terutama pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz.

Wallahua'lam.

Baca juga : Al-Fikrah.Net

No comments:

Post a Comment

PaidVerts

Kalam Dari Pondok Tua

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...