Kata JIWA

Thursday, May 5, 2011

Hukum Berubat Menggunakan Kemenyan

Mereka Menyoal :

Apakah hukumnya seorang pengamal perubatan merawat gangguan makhluk halus dengan ayat Al-Quran tapi dalam masa yang sama menggunakan kemenyan dalam sesi perubatannya itu?

To'Wan Menjawab :

Penulis ketika mengajukan soalan yang sama kepada Al-Fadhil Ustaz Ahmad Adnan Bin Fadhil, beliau telah memberikan jawapan sebagaimana berikut,

"Para ulama' telah menetapkan bahawa hukum merawat gangguan makhluk halus dengan ayat Al-Quran tapi dalam masa yang sama menggunakan kemenyan atau seumpamanya adalah diharuskan selagimana tiada unsur permujaan atau syirik (menyekutukan Allah) di dalamnya".

Daripada jawapan yang telah diberikan oleh ustaz ini, penulis ingin berbicara tentang dua perkara :

1. Bacaan di dalam perubatan

2. Barangan yang digunakan di dalam perubatan

Secara dasarnya, merawat gangguan makhluk halus dan penyakit-penyakit yang lain menggunakan ayat Al-Quran adalah harus bahkan digalakkan di dalam Islam. Kerana Al-Quran itu sendiri sebagaimana firman Allah S.W.T adalah syifa' (penawar).

Manakala berubat menggunakan bacaan selain daripada itu adalah tidak digalakkan bahkan haram jika sekiranya ada unsur-unsur permujaan dan mensyirikkan Allah.

Firman Allah Taala dalam surah An-Nisa' ayat 116 :

"Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan Dia, dan Dia mengampuni dosa yang selain syirik bagi siapa yang dikehendakiNya. Barangsiapa yang mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah, maka sesungguhnya dia telah tersesat sejauh-jauhnya.".

Berkenaan dengan bahan atau barangan yang digunakan ketika berubat menggunakan ayat Al-Quran pula, perlu dilihat kepada dua sudut :

1. Bahan yang digunakan

2. Tujuan penggunaan

Jika bahan yang digunakan untuk berubat adalah suci lagi bersih, maka harus pada penggunaannya. Kaedah usul fiqh menyatakan, 'Sesuatu yang tiada hukum padanya, maka ia adalah harus'.

Berkenaan bahan yang suci lagi bersih tetapi digunakan untuk tujuan yang salah pula, secara sendirinya hukum ketika itu bertukar haram.

Dan bahan yang kotor dan haram, maka sudah jelas tidak harus pada penggunaannya sekalipun untuk tujuan yang baik. Kaedah usul fiqh menyebut, 'Jalan yang digunakan seumpama benda yang yang diniatkan'.

Berdasarkan kaedah ini, bolehlah kita fahami bahawa jika jalan yang kita gunakan untuk mencapai sesuatu yang baik, maka jalan yang kita gunakan itu juga sudah memperolehi pahala. Dan jika benda yang buruk, sekalipun jalannya adalah baik, maka sudah pasti memperolehi dosa.

Contohnya : Pergi ke masjid adalah benda yang baik, maka menaiki kenderaan ke masjid juga dikira sebagai kebaikan.

Contoh yang lain: Menyewa rumah atau bangunan hukum asalnya adalah harus, tetapi jika digunakan untuk melakukan maksiat dan kejahatan maka hukumnya bertukar haram.

Berkenaan soalan yang ditanyakan, penulis berpandangan sama seperti yang telah disebutkan oleh Ustaz Ahmad Adnan Bin Fadhil. Dan penulis mengesyorkan juga kepada yang bertanya supaya merujuk kepada ustaz-ustaz yang lain dan membaca buku-buku berkenaan hal ini supaya mendapat maklumat yang lebih tepat dan terperinci.

Nota Kaki :

Ustaz Ahmad Adnan Bin Fadhil merupakan Mudir Am Manhal-HPA serta pengendali LAMAN SOAL JAWAB AGAMA (SINI)

No comments:

Post a Comment

PaidVerts

Kalam Dari Pondok Tua

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...