Kata JIWA

Tuesday, July 10, 2012

Alam Jin Dan Syaitan (Bahagian 3)

Hukum Beriman Dengan Jin

Menyakini tentang kewujudan jin hukumnya adalah wajib. Sesungguhnya telah datang satu surah daripada surah-surah Al-Quran yang dinamakan dengan surah al-jin pada juzuk ke-29 dengan diceritakan dengan jelas di dalam surah ini akan perihal jin. Oleh yang demikian, dianjurkan kepada kita membaca surah ini beserta dengan tafsirannya.

(Al-'Aqidah Al-Islamiah:121)

Sebahagian Kata-Kata Dusta Akan Perihal Jin

1. Mendakwa sebahagian orang kafir : Adalah yang dimaksudkan dengan jin itu adalah roh bintang-bintang (di cakerawala).

2. Mendakwa sebahagian daripada ahli-ahli falsafah : Adalah yang dimaksudkan dengan jin itu adalah unsur-unsur jahat dalam diri manusia, sebagaimana yang dimaksudkan dengan malaikat ialah unsur-unsur baik dalam diri manusia.

3. Mendakwa sebahagian daripada orang-orang moden : Adalah jin itu jisim dan mikrorganisma yang terlindung dalam alam moden.

('Alamul Jin Was Syayathin:13)

Bagi menolak dakwaan-dakwaan ini :

Firman Allah Taala dalam surah al-ahqaaf ayat 29 yang bermaksud :

"Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan sekumpulan jin kepadamu (Muhammad) yang mendengarkan Al Quran, maka tatkala mereka menghadiri pembacaan (Al-Quran) lalu mereka berkata: "Diamlah kamu (untuk mendengarkannya)." Ketika pembacaan telah selesai mereka kembali kepada kaumnya (untuk) memberi peringatan,".

Dan ketahuilah, sesungguhnya jin merupakan sebahagian daripada roh; roh itu ada tiga jenis : Yang baik iaitu malaikat, yang jahat iaitu syaitan dan ditengah-tengah mereka (malaikat dan syaitan) iaitu jin.

(Tafsir Hadaiqul Ruh Wal Raihan Fi Rowabi 'Ulumil Quran:J.27/95)

Di dalam sebuah hadis Bukhari, daripada Ibnu Abbas R.A telah berkata : "Tidaklah Rasulullah S.A.W membaca (Al-Quran) ke atas jin dan tidak pula melihat mereka. Akan tetapi adalah baginda membacanya di dalam solatnya dan mereka (jin) berada di sisinya dan mendengar bacaan baginda. Maka Allah telah memberitahu Nabi akan perihal jin mendengar (bacaan Al-Quran itu)".

Maka persolannya di sini, bolehkah jin mendengar bacaan Al-Quran jika sekiranya mereka adalah makhluk yang tidak mempunyai roh?

Kebenarannya, adalah jin itu alam (makhluk) ketiga selain malaikat dan manusia. Dan adalah mereka itu makhluk yang berakal serta mengetahui, bukan pula makhluk di alam manusia akan tetapi mereka itu mukallaf (dipertanggungjawabkan) dengan urusan agama sebagaimana manusia.

('Alamul Jin Was Syayathin:17)

Dalil-Dalil Atas Kewujudan Jin

1. Kewujudan mereka (jin) diakui oleh semua agama :

Berkata Ibnu Taimiyyah di dalam Majmu'ah Fatawa, "Sekalian umat Islam mengakui akan kewujudan jin. Demikian juga orang-orang kafir (paderi-paderi), juga orang-orang musyrikin Arab, orang-orang Kan'an (bangsa Arab di Syam) dan orang-orang Yunani (Greek). Maka ramainya kumpulan-kumpulan ini membuktikan kan kewujudan jin".

Dan Imam Al-Haramain menyatakan, "Sesungguhnya para ulama' pada zaman sahabat dan tabi'in telah bersepakat tentang kewujudan jin dan syaitan dan meminta perlindungan daripada Allah daripada kejahatan mereka (jin dan syaitan). Dan ianya telah menjadi sebhagian daripada urusan agama".

('Alamul Jin Was Syayathin:18)
2. Nas-nas Al-Quran Dan Hadis :

Firman Allah Taala dalam surah al-jin ayat 1 yang bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Telah diwahyukan kepadamu bahawasanya: Telah mendengar sekumpulan jin (akan Al Quran), lalu mereka berkata: Sesungguhnya kami telah mendengarkan Al-Quran yang menakjubkan,".

Firman Allah Taala lagi dalam surah al-jin ayat 6 yang bermaksud:

"Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki daripada kalangan manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki daripada kalangan jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan".

Dan inilah sebahagian nas-nas yang banyak yang boleh disebutkan bagi membuktikan akan perkara ini. Namun di sana banyak lagi dalil-dalil akannya.

3. Penglihatan dan penyaksian :

Ramai manusia di zaman kita dan zaman dahulu telah menyaksikan perkara ini. Sebahagian mereka telah melihat dan mendengar (suara) tidak mengetahui yang itu sebenarnya adalah jin, sehingga mereka mendakwa bahawa ianya adalah roh-roh orang mati, orang bunian dan seumpamanya. Dan perkara ini sebenarnya telah dibuktikan dalam hadis-hadis yang menceritakan bahawa Rasulullah S.A.W pernah melihat jin, bercakap dengan mereka, mengajar mereka serta membacakan Al-Quran kepada mereka.

Wallahua'lam.

Rujukan:
1. Al-Quranul Karim
2. 'Alamul Jin Was Syayathin / Dr. Umar Sulaiman Abdullah Al-Asyqar / Darun Nafaais, Jordan / Cetakan 2008M-1429H
3. Al-'Aqidah Al-Islamiah (1) / Dr. Ahmad Muhammad Ahmad Al-Jalli, Dr. Ali Bin Al-'Ajami Al-'Asyie dan Dr. Abdul Ghani Haidar Faari' / Darul Kitab Al-Jaami'e, Sana'a / Cetakan 2009M-1432H
4. Majmu'ah Al-Fatawa  / Ibnu Taimiyyah / Darul Wafa', Mansourah / Cetakan Ketiga 2000M-1421H
5. Tafsir Hadaiqul Ruh Wal Raihan Fi Rowabi 'Ulumil Quran / As-Syeikh Al-'Alamah Muhammad Al-Amin ibn Abdullah / Darul Minhaj / Darul Thuqun Najah / Cetakan Ketiga 2008M-1428H
6. Maktabah Shamilah

No comments:

Post a Comment

PaidVerts

Kalam Dari Pondok Tua

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...