Kata JIWA

Sunday, July 31, 2011

Melihat Anak Bulan

Apabila telah melihat anak bulan di sesebuah negeri, maka wajib bagi penduduknya untuk berpuasa atau berbuka (berhari raya). Cuma yang menjadi pertikaian apakah penduduk negeri lain juga wajib berpuasa sekalipun mereka tidak melihat anak bulan.

Beberapa pandangan ulama' berkenaan masalah ini :

Pendapat pertama : Tidak wajib berpuasa bagi penduduk di negeri yang tidak melihat anak bulan.

Pendapat kedua : Wajib puasa atas penduduk negeri yang tidak melihat apabila melihat anak bulan itu ditetapkan oleh imam (pemimpin) kerana imam mempunyai hak terhadap semua negeri yang diperintahnya.

Pendapat ketiga : Hanya wajib puasa atas penduduk negeri-negeri yang berdekatan negeri-negeri yang melihat.

Dalam ukuran jauh jarak pula, ditentukan dengan beberapa kriteria :
a. Tidak melebihi jarak qasar (boleh memendekkan solat fardhu).
b. Keadaan cuaca (panas dan sejuk) mesti sama dengan negeri yang melihat.
c. Masa terbit matahari mestilah sama.

Pendapat keempat : Wajib puasa atas penduduk negeri yang pada kebiasaannya melihat perkara yang sama (anak bulan) dengan negeri yang melihat itu apabila tiada sesuatu yang menghalanginya.

Pendapat kelima : Tidaklah wajib berpuasa apabila negeri itu berbeza pada ketinggiannya (dari paras laut) dengan negeri yang melihat anak bulan itu.

Dan perbezaan pendapat-pendapat itu sebenarnya berdasarkan kepada hadis di bawah ini :

"Dari Kuraib R.A katanya : adalah Ummul Fadhal Bint Haris mengutuskannya untuk menemui Mu'awiyah di Syam. Kata Kuraib : "Setelah aku tiba di sana dan tugasku telah selesai, bulan Ramadhan pun tiba. Aku melihat anak bulan terbit pada malam Jumaat. Kemudian aku kembali ke Madinah pada akhir bulan. Lalu Abdullah Bin Abbas bertanya kepadaku : "Bila kamu melihat anak bulan?" Jawabku : "Kami melihatnya pada malam Jumaat.". "Apakah kamu menyaksikannya sendiri?". "Ya, aku menyaksikannya sendiri, bersama orang ramai. Kerana itu mereka mula berpuasa termasuk Mu'awiyah,". Kata Ibnu Abbas : "Tetapi kami melihatnya pada malam Sabtu. Kerana itu kami mencukupkan puasa kami 30 hari atau kami melihat bulan,". Tanyaku : "Apakah tidak cukup dengan penglihatan Mu'awiyah dan mengikut puasanya sahaja?". Jawab Ibnu Abbas : "Tidak! Kerana begitulah perintah Rasulullah S.A.W kepada kami,".

[Hadis riwayat Muslim dan jamaah kecuali Bukhari dan Ibnu Majah]

Ulasan Penulis :

Bagi situasi di Malaysia kini, penulis lebih cenderung untuk menerima pakai pendapat yang kedua iaitu berpuasa dengan ketetapan pemerintah. Ini kerana tugas melihat anak bulan kini dijalankan oleh mereka yang telah dipertanggungjawabkan dan kita sebagai penduduk wajib mengikut apa yang telah ditetapkan oleh pemerintah. Berkenaan hal jika berlaku ketidakamanahan pada melihat anak bulan itu , kita sebagai penduduk tidaklah dikira berdosa melainkan jika kita sendiri melihat anak bulan itu.

Wallahu'alam.

Rujukan :
1. Fiqh Islam - H. Sulaiman Rasjid - Penerbit Attahiriyah
2. Terjemahan Hadis Shahih Muslim - Klang Book Store

No comments:

Post a Comment

PaidVerts

Kalam Dari Pondok Tua

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...